PPN Fasa 2: Rentas daerah, negeri masih tidak dibenarkan kecuali…

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR 3 Julai – Rakyat di lima negeri yang dibenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin ini masih tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun berkata, kebenaran itu diberi kepada pasangan perhubungan jarak jauh (PJJ) khususnya membabitkan kes-kes kecemasan dan keperluan asas dengan mendapat kelulusan pihak polis.

“Kes-kes khas misalnya seperti isteri baru melahirkan anak atau isteri ada anak yang masih bayi dan memerlukan kehadiran suami adalah dibenarkan.

“Cuma seperti saya katakan, perlu mendapat kelulusan daripada pihak polis.

“Selain itu, pergerakan guru dan pelajar yang mengikuti kelas peperiksaan juga dibenarkan untuk merentas daerah atau negeri dalam tempoh Fasa 2 PPN,” katanya pada sidang media dalam talian  bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan untuk PPN Fasa 2, beberapa perkhidmatan yang sebelum ini tidak dibenarkan boleh beroperasi antaranya kedai buku, kedai alat tulis, pusat cuci kenderaan, kedai gunting rambut, kedai komputer dan kedai telekomunikasi.

Jelasnya, pasar tani dan pasar pagi juga dibenarkan dari jam 7 hingga 11 pagi dengan jualan terhad kepada enam komoditi yang ditetapkan iaitu sayuran, buah, makanan laut, ayam segar, daging dan barangan runcit sahaja.

“Bagaimanapun, pasar minggu dan pasar malam masih tidak dibenarkan. Begitu juga dengan aktiviti sosial yang lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Ismail mengumumkan lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis menjadi negeri pertama dibenarkan beralih ke Fasa 2 selepas menepati tiga indikator yang ditetapkan dalam PPN bermula Isnin ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

412
Kongsi :
Previous post Lima negeri ke Fasa 2 PPN bermula Isnin, Melaka kekal Fasa 1
Next post Bekas ejen Pos Rider diutamakan untuk khidmat sambilan
Ubah saiz-+=