Lima tawaran Mohd Ridhwan kepada warga Hang Tuah Jaya

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT PIATU 16 November – Menangani kos sara hidup rakyat, menyelesaikan isu parkir dan kesesakan dalam Hospital Melaka antara lima tawaran utama dikemukakan Mohd Ridhwan Mohd Ali kepada warga Hang Tuah Jaya.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya itu, manifesto lain yang turut ditawarkan adalah mewujudkan tapak niaga baharu di lokasi yang strategik dan dilengkapi dengan kemudahan asas serta menyelesaikan isu banjir.

Selain itu, katanya turut ditawarkan ialah mewujudkan satu penyelarasan aduan komuniti secara berpusat di pejabat Parlimen kepada komuniti di kawasan perumahan, perindustrian, perniagaan dan lain-lain lagi.

“Terdapat lima perkara yang saya akan bawa sebagai manifesto Hang Tuah Jaya, selebihnya saya mengikuti manifesto PADU BN.

“Di mana berkenaan isu banjir misalnya, sekiranya diberi mandat, saya akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembesaran kolam takungan sedia ada di Sungai Putat menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB), di mana projek RTB ini sudah pun diluluskan, namun ‘progress’ masih perlahan.

“Antara lain, membuka dan beri peluang pekerjaan, di mana kita akan minta pemain industri untuk memberi kuota khas jawatan kosong pelbagai sektor industri kepada penduduk Hang Tuah Jaya,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika sesi walkabout, hari ini.

Mohd Ridhwan pada masa sama turut merayu kepada pengundi agar memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan bagi membolehkan kesemua manifesto diteruskan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2220
Kongsi :
Previous post Korbankan tidur demi bertemu pengundi – Roslan
Next post Shahril Hamdan mahu permudahkan proses bantuan JKM
Ubah saiz-+=