Lintah bukan halangan raih rezeki banjir

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Nov. – Lintah sebesar jari lelaki dewasa tidak harus ditakuti untuk berusaha meraih rezeki ikan banjir.

Walaupun dihurung lintah, namun peluang menangkap ikan pada musim banjir tidak harus dilepaskan.

Itulah pegangan Hanafi Abdul Rashid, 23, ketika membiarkan kakinya menjadi bahan makanan lintah sebesar jari orang dewasa semata-mata untuk tidak melepaskan peluang menangkap ikan air tawar yang agak mudah diperoleh di kawasan dilanda banjir.

Bagi pekerja kilang memproses kopi itu, biarlah tubuhnya digigit lintah yang berkeliaran dalam air sungai yang melimpah ke kawasan kediaman, asalkan tong dipenuhi pelbagai jenis ikan.

Lintah yang ditanggalkan daripada kaki Hanafi.

Dengan menggunakan jaring, Hanafi memasang perangkap itu di kawasan dinaiki air setinggi kira-kira satu meter di Kampung Belimbing Dalam, di sini bagi memastikan beliau tidak terlepas peluang memiliki ikan sepat, betuk, haruan, keli dan lampam.

“Sejak semalam saya sudah mula memasang jaring di beberapa lokasi strategik yang sebelum ini pernah saya menjaring dan mendapat hasil yang memuaskan.

“Alhamdulillah, pagi ini saya dapat lebih kurang dua kilogram pelbagai jenis ikan yang saya makan sendiri dan ada juga yang saya jual jika ada orang yang berhajat,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Beliau berkata, kehadiran lintah yang menghisap darahnya hingga kekenyangan tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk meredah banjir, termasuk di kawasan belukar kerana baginya, haiwan itu sekadar ingin menikmati darahnya tetapi diyakini tidak mendatangkan kemudaratan yang berbahaya.

Katanya, kaki dan pahanya yang digigit lintah tidak terasa sakit ketika beliau berada dalam air tetapi selepas keluar dari air, bahagian yang digigit haiwan itu terasa pedih dan gatal.

“Ada orang terpaksa menggunakan sirih atau tembakau untuk menggosok lintah supaya tertanggal daripada kulit tetapi saya sekadar menariknya hingga tertanggal,” katanya.

Sepanjang usahanya menangkap ikan ketika musim banjir sebelum ini, hanya sekali beliau digigit lintah selebar tiga jari orang dewasa dan sepanjang kira-kira 10 sentimeter.

Katanya, dalam kejadian dua tahun lalu itu, lintah menggigit lengan kirinya ketika beliau menarik jaring di kawasan dinaiki air tetapi ia hanya disedari selepas beliau keluar dari kawasan berair.

“Saya mencuba menariknya tetapi gagal dan lengan saya semakin sakit, menyebabkan dua kawan saya terpaksa mencucuh lintah besar itu dengan puntung kayu api,
baharulah ia tertanggal daripada kulit,” katanya.

Hanafi berkata, air yang naik sejak petang semalam semakin surut pagi ini tetapi dijangka naik semula berikutan hujan pada tengah hari ini dan dijangka berlarutan hingga malam berdasarkan keadaan langit yang ditutupi awan hitam.

Views:

876
Kongsi :
Previous post Maybank lanjutkan bantuan pembayaran semula sehingga 30 Jun 2021
Next post Pengunjung mula datang ke Zoo Melaka
Ubah saiz-+=