Lokasi tumpuan pelancongan Melaka ‘diserbu’

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDAR HILIR 30 Jan – Lokasi pelancongan dan tempat bersejarah di bandar raya ini menjadi tumpuan apabila dipenuhi pengunjung yang datang bercuti ke negeri ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini di beberapa lokasi tumpuan seperti Bangunan Stadthuys, Menara Taming Sari serta Kota A Famosa mula dipenuhi orang ramai seawal jam 10 pagi.

Malah beca yang sebelum ini ‘hilang’ susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali sibuk membawa penumpang .

Meskipun ‘bebas’ untuk melakukan pelbagai aktiviti sosial namun orang ramai dilihat tidak melupakan keselamatan diri dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.

Bagi pengayuh beca Shahril Azman, 31, berkata, dengan kehadiran semula pelancong ke Melaka ia dapat membantu semula mencari pendapatan yang terjejas sebelum ini.

Katanya, walaupun pelancong mula berkunjung ke Melaka namun ianya tidak seramai dulu mungkin disebabkan ramai yang masih mengambil pendekatan berjaga-jaga.

“Seakan mati hidup semula, Alhamdulillah boleh bernafas semula selepas lama berehat dan hilang punca pendapatan.

“Kalau lihat pelancong ramai tetapi suasana itu tidak sama seperti cuti Tahun Baru Cina sebelum PKP, sebelum itu memang penuh,” katanya.

KEHADIRAN semula pelancong ke Melaka dapat membantu semula mencari pendapatan pengusaha beca yang terjejas sebelum ini.

Bagi peniaga pula, Aisya Ali berkata, walaupun tidak ramai yang singgah membeli namun sekurang-kurangnya ada sinar buat peniaga untuk kembali berniaga.

“Boleh katakan orang ramai tetapi yang membeli tidak ramai namun begitu masih ada yang singgah.

“Kami peniaga mengharapkan orang luar, syukur apabila ramai pelancong luar datang sekurang-kurangnya berjalan barang jualan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1097
Kongsi :
Previous post Pendigitalan dalam industri kreatif perlu diperkasa- Annuar Musa
Next post JKMPay masih di peringkat kajian – Rina
Ubah saiz-+=