Pendigitalan dalam industri kreatif perlu diperkasa- Annuar Musa

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MASJID TANAH 30 Jan – Penggiat industri kreatif dalam kalangan masyarakat disaran memperkasakan bidang itu menerusi gelombang pendigitalan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu bagi membudayakan ekonomi digital kepada semua peringkat sama ada perniagaan kecil atau berskala mega.

Katanya, ketika ini masih ada dalam kalangan masyarakat yang menganggap digitalisasi hanyalah untuk industri dan syarikat yang besar dan bukannya untuk perusahaan kampung.

“Sebenarnya tidak begitu, semua usahawan-usahawan termasuk kecil, mikro dan juga sederhana adalah sasaran sebenar kita untuk memastikan mereka menyertai program digitalisasi ini.

“Untuk itu, sememangnya perlu ada pendedahan, perlu ada latihan dan peluang-peluang yang dibuka kepada mereka bagi tujuan menggalakkan perkembangan industri kreatif serta penyertaan dalam digital ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada program Sembang Santai #KeluargaMalaysia@Melaka di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini.

ANTARA pemain industri kreatif yang hadir bergamvar bersama Annuar (tengah) dalam Program Sembang Santai #KeluargaMalaysia@Melaka di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 20 pemain industri kreatif hadir dalam terbabit, antaranya terdiri dari pembuat capal, pemain musik dan lain-lain bidang.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, bagi merealisasikan pembudayaan ekonomi digital dalam kalangan masyarakat, kerajaan memberi peluang dan pendedahan melalui Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC) menerusi pelancaran pelbagai kempen kesedaran ke setiap negeri.

“Usaha sebegini adalah salah satu inisiatif untuk memastikan industri kreatif memberi sumbangan yang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, mewujudkan peluang pekerjaan dan juga menjadi satu daripada pemacu dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Jadi program-program engagement (keterlibatan) seperti mana kita lakukan ini adalah mustahak untuk menyampaikan segala informasi berhubung program dan dasar kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

801
Kongsi :
Previous post Saravanan akan bertemu syarikat yang dikenakan sitaan, sekatan eksport oleh CBP AS
Next post Lokasi tumpuan pelancongan Melaka ‘diserbu’
Ubah saiz-+=