Lori terbabit kemalangan di Gerik gagal audit keselamatan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER MOLEK 16 Disember – Lori yang terbabit dalam kemalangan di Gerik, Perak 29 Oktober lalu hingga menyebabkan seorang bayi maut, gagal dalam Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, laporan itu diperoleh pihak semalam dan akan diserahkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut.

“JISA sudah dilaksanakan keatas kenderaan itu dan keputusannya gagal. Keputusan (laporan) sudah keluar hari ini (semalam).

“Penggantungan permit dan tempoh akan dimaklumkan oleh pihak APAD nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Bersama Media, di Akademi JPJ Tiang Dua, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut beliau berkata, berhubung keputusan menggantung lesen pemandu lori berkenaan pula, perkara itu akan diputuskan oleh mahkamah.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Pengangkutan akan menggantung permit operasi sebuah syarikat lori selepas pemandunya dikesan terbabit dalam kemalangan di Gerik, hingga menyebabkan seorang bayi maut, hujung Oktober lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, menerusi kenyataan di akaun Facebook mengarahkan JPJ dan APAD mengambil tindakan terhadap pemandu dan syarikat lori yang terbabit dalam kemalangan terbabit.

Insiden itu, tular menerusi laman sosial apabila seorang lelaki yang juga pemandu kereta meluahkan rasa marah dengan tindakan cuai pemandu lori yang menjadi punca kepada kemalangan.

Difahamkan, beberapa kenderaan lain turut terbabit dalam kemalangan berkenaan selepas muatan lori terjatuh ke atas jalan raya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2042
Kongsi :
Previous post Melaka FC bawa imej baharu, belanja RM2 juta hadapi Liga M3
Next post JPJ rekod kutipan tertinggi RM4.6 bilion
Ubah saiz-+=