Melaka FC bawa imej baharu, belanja RM2 juta hadapi Liga M3

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 16 Disember – Melaka Football Club (FC) sah menjadi wakil tunggal Melaka beraksi dalam saingan Liga M3 musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka FC Ridzuan Ahmad berkata, kelab itu kini dalam fasa persiapan awal membabitkan pemilihan pemain dan staf kejurulatihan sebelum dimuktamadkan pada Januari depan.

Menurutnya, bagi menghadapi semua perlawanan berserta pembayaran gaji pemain dan staf kejurulatihan, anggaran RM2 juta akan dibelanjakan untuk semusim.

“Untuk fasa awal, kita telah memanggil 60 pemain yang terdiri daripada beberapa pemain lama Melaka yang ingin kejal, selain ia turut melibatkan pemain yang sedang beraksi di Governor Cup ketika ini dan pemain berstatus pinjaman daripada kelab lain.

“Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada pihak penaja untuk membawa ketua jurulatih dari Eropah yang mana kita hanya berbelanja sedikit sahaja, selebihnya ditanggung pihak penaja.

“Nama jurulatih dan senarai penuh pemain yang ditandatangani akan diumumkan pada Januari nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Apresiasi MPHTJ 2022 sempena Sambutan Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya Ke-13, di sebuah hotel.

Dalam pada itu, Ridzuan turut menjelaskan Melaka FC merupakan satu entiti baharu dan tidak ada kena mengena dengan kelab sebelum ini yang terpalit kontroversi.

Menurutnya, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pertama kelab, beliau mengambil cabaran untuk membentuk semula pasukan bola sepak Melaka dari bawah, selain merealisasikan misi membawa Melaka kembali ke kancah Liga Super pada musim 2024.

“Apa yang pasti dengan jenama baharu ini, kita akan cuba melangkah ke satu fasa baharu pembentukan semula bola sepak Melaka dalam saingan Liga Malaysia.

“Jadi, cabarannya sudah tentulah untuk kami wajib kembali semula beraksi di saingan liga teratas iaitu Liga Super pada 2024 dan layak beraksi dengan kuasa-kuasa besar bola sepak di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5270
Kongsi :
Previous post ‘Roti canai terbang’ sajian mata dan selera pelanggan
Next post Lori terbabit kemalangan di Gerik gagal audit keselamatan
Ubah saiz-+=