Lukisan mural beri imej baharu Bandar Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

Oleh: Juraidah Othman

JASIN 27 Okt. – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil langkah proaktif apabila bekerjasama dengan pelukis tempatan untuk lukisan mural pada dinding bangunan perniagaan di pusat Bandar Jasin.

Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron berkata, usaha itu dibuat bagi menampilkan dekorasi menarik dan memberi kelainan serta mencantikkan pemandangan bandar itu.

Beliau berkata, projek ini bertujuan menceriakan lagi pemandangan di Bandar Jasin khususnya selaras dengan status negeri Melaka Negeri Maju, sekali gus menjadi tarikan pelancong berkunjung ke daerah Jasin.

SAPIAH dan tetamu yang hadir bergambar berlatar belakangkan lukisan mural ‘77000’ yang cukup sinonim dengan Bandar Jasin.

“Mural ini ternyata membawa pemandangan berbeza yang dapat disajikan kepada orang ramai termasuk pelancong, sekali gus menjadi latar paling istimewa untuk orang ramai merakam gambar kenangan.

“MPJ komited dalam usaha menjadikan Daerah Jasin lebih ceria, menarik, bersih & berdaya maju seiring dengan kemajuan Negeri Melaka.

“Justeru itu, lukisan mural di Bandar Jasin ini juga merupakan usaha murni dan inisiatif MPJ menceriakan serta menaikkan lagi ‘seri’ Daerah Jasin sekali gus mengamit lebih ramai kedatangan pelancong ke Daerah Jasin,” katanya ketika lawatan kerja turun padang ke lokasi mural di Bandar Jasin, di sini.

Sapiah berkata, selain mencantikkan persekitaran Bandar Jasin, imej yang ditampilkan pada lukisan itu unik kerana mempaparkan keseimbangan alam semulajadi dan beberapa nilai positif lain seperti aspek kebersihan serta bandar bahagia selari dengan status #Jasin Bandar Bahagia.

Beliau berkata, elemen itu penting kerana ia menggambarkan imej sebenar masyarakat negara ini dan dapat memberikan gambaran baik pada kaca mata pelancong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2081
Kongsi :
Previous post Calon baharu dan muda disenangi pengundi
Next post Rawatan kesihatan percuma di Kampung Alai
Ubah saiz-+=