Lumba perahu naga di Sungai Melaka, Jun dan Julai ini

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat
AYER KEROH 18 Mei – Seramai hampir 500 peserta daripada 40 kumpulan dijangka menyertai Perarakan dan Perlumbaan Perahu Naga Melaka 2023, yang akan berlangsung pada Jun dan Julai depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penganjuran pertandingan yang sudah masuk kali ke-41 itu akan berlangsung di Dataran Persahabatan Malaysia-China dan River Information Centre (RIC), Pengkalan Rama, Sungai Melaka.
Beliau berkata, perlumbaan Perahu Naga itu diadakan sempena Pesta Duanwu iaitu satu daripada perayaan tradisional utama kaum Cina selain dijadikan acara tahunan sukan air utama sejak 2,000 tahun lalu.
“Sebagai pembukaan kepada program, satu perarakan akan diadakan pada 18 Jun bertempat di Dataran Persahabatan Malaysia – China, Banda Hilir.
“Manakala pembukaan rasmi pula akan berlangsung pada 2 Julai di RIC, Pengkalan Rama, Sungai Melaka, yang membabitkan 40 kumpulan dengan 480 peserta dari dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Melaka, Saari Basiron di Pejabat BBP Kota Cemerlang, hari ini.
Menurutnya, perlumbaan itu membabitkan dua kategori iaitu tertutup dan terbuka selain lapan hadiah utama turut disediakan.
“Bagi kategori terbuka ia akan membabitkan semua peserta termasuk dari Sabah dan Sarawak manakala tertutup pula hanya akan disertai peserta dari Melaka sahaja.
“Kita juga sedang perhalusi untuk menjadikan dan mengangkat acara ini ke peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Melaka 2024 tahun hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, penganjuran Perarakan dan Perlumbaan Perahu Naga itu juga dikategorikan sebagai sub sektor pelancongan sukan di negeri ini sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.
“Bagi program ini kita sasarkan kira-kira 5,000 pengunjung akan hadir termasuk dari luar negara ia secara tidak langsung dapat membantu kita mencapai sasaran 8.4 juta pelancong ke Melaka tahun ini.
“Menjadi harapan juga agar program ini akan menjadi sebutan dalam kalangan pelancong terutamanya sebagai destinasi pelancongan sukan.
“Ini secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan Melaka khasnya sempena Tahun Melawat Melaka 2024 sebagai destinasi utama bagi penganjuran program ini pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1789
Kongsi :
Previous post MITI akan bekerjasama dengan KPT, MOSTI bagi perkasakan industri aeroangkasa
Next post ‘No right turn’ bermula Jun
Ubah saiz-+=