M-WEZ bakal dilengkapi pelabuhan terbaik negara – KM

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

KUALA LUMPUR 6 April – Projek Pelabuhan Tanjung Bruas, di Tanjung Kling di sini yang termasuk dalam koridor ekonomi berimpak tinggi, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) bakal menjadi pelabuhan terbaik di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, keyakinan itu berdasarkan kedudukannya yang terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia yang lebih menjimatkan masa dan kos kapal-kapal besar untuk berlabuh.

“Berbanding dengan (pelabuhan) di Pulau Pinang, Pelabuhan Klang, Johor, malah Singapura, yang terbaik adalah pelabuhan di Melaka (Pelabuhan Tanjung Bruas).

“Saya dah lihat ‘chart work’ Jabatan Laut Malaysia, dengan keluasan pantai dan kedalaman dasar laut yang cukup menarik dan terletak di tengah-tengah Semenanjung, terdapat kira-kira 100,000 kapal melintasi perairan ini setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi ramah mesra bersama kira-kira 30 pengarang kumpulan, ketua-ketua pengarang, pengarang kanan dan pengarang syarikat media cetak dan elektronik di Rumah Melaka, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Datuk Abd Kadir Md Idris, Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Operasi MHI, Anuar Shaari.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, majlis pelancaran koridor yang disasarkan menjana pelaburan RM100 bilion dan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2035 itu akan dilancarkannya secara rasmi di ibu negara Khamis ini.

“Koridor ekonomi ini akan mengulang kembali kegemilangan Melaka seperti lebih 700 tahun lalu yang menjadi pusat tumpuan Eropah dan China disebabkan 70 kilometer pesisir pantai di Melaka ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

“Pelabuhan kita ini akan menjadi laluan yang lebih pantas untuk semua kapal. Kalau tidak kenapa dahulu Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka mesti ada sebab,” katanya.

M-WEZ bakal menjadi koridor pertama di pesisir pantai Selat Melaka dengan keluasan 10,117 hektar (25,000 ekar) sepanjang 33 kilometer pesisir pantai dari Tanjung Kling hingga ke Telok Mas itu membabitkan kawasan pembangunan tambak laut seluas 6,070 hektar.

Jika dibuat perbandingan, kawasan 6,070 hektar yang akan dibangunkan dengan lima zon utama itu adalah lebih besar daripada saiz Putrajaya seluas 4,931 hektar.

Lima zon utama M-WEZ adalah Melaka Habourfront, Smart Logistic Nucleus, Digital Satellite Township, Central Eco Business Park dan Trade Nucleus New Township yang mana kelima-lima zon mempunyai komponen tersendiri dengan fungsi yang saling berkaitan.

Koridor berkenaan merupakan cetusan idea Sulaiman bagi menunjukkan komitmen kerajaan negeri bermula Mei 2020 untuk bangkit dan mengeksplorasi sumber kewangan bernilai tinggi dan mampan ekoran dari kesan pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

775
Kongsi :
Previous post Sulaiman terima pangkat Brigedier Jeneral Kehormat
Next post Malaysia sasar RM2 bilion nilai eksport produk coklat tahun ini
Ubah saiz-+=