Malaysia sasar RM2 bilion nilai eksport produk coklat tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 April. – Kerajaan menyasarkan peningkatan dua kali ganda iaitu RM2 bilion nilai eksport produk coklat negara tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini berikutan industri terbabit menyumbang RM1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

Menurutnya, usaha itu perlu dicapai dengan kerjasama semua pihak biarpun negara berdepan dalam pasca penularan pandemik COVID-19.

MUHAMMAD Jailani (tengah) memperkatakan sesuatu dengan Mohd Khairuddin (kiri) mengenai produk coklat.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Program Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko telah diperuntukkan sebanyak RM10 juta.

“Peruntukan ini merangkumi skop pengukuhan pasaran, promosi dalam dan luar negara, yang dapat membantu meningkatkan pasaran industri koko dan coklat negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Lembaga Koko Malaysia diadakan di Hotel LaCrista di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Dr. Aliakbar Gulasan.

MOHD Khairuddin (tengah) merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan.

Sementara itu Mohd Khairuddin berkata, kementeriannya berhasrat melahirkan kira-kira 1,000 usahawan coklat buatan tangan di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada RMKe-11 sebelum ini kerajaan berjaya membentuk seramai 232 usahawan coklat buatan tangan yang telah berdaftar dengan Lembaga Koko Malaysia dengan rekod jumlah pendapatan mencecah RM5.81 juta.

“Menerusi inisiatif kerajaan kali ini, kita akan memastikan usaha ini dapat dibentuk dengan pembangunan usahawan baru, menaik taraf usahawan sedia ada, bantuan teknikal, pemantauan prestasi usahawan dan pelbagai aktiviti lain.

“Ini juga merupakan peluang untuk anak muda lepasan universiti menjadi sebahagian usahawan baru untuk menampilkan idea-idea segar termasuklah daripada segi pembungkusan bertaraf antarabangsa dan menjadikan Malaysia terkenal sebagai ‘King Of Chocolate’,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

886
Kongsi :
Previous post M-WEZ bakal dilengkapi pelabuhan terbaik negara – KM
Next post ‘Singgit Seposen’ galak komuniti amalkan kitar semula
Ubah saiz-+=