‘Singgit Seposen’ galak komuniti amalkan kitar semula

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 6 April. – Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) hari ini melancarkan Program ‘Singgit Seposen’ bertujuan menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula dan pada masa sama meraih pendapatan sampingan melalui penjualan barangan terpakai.

Menerusi program itu barangan terpakai yang dikumpul akan dibeli oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada mengikut jenis barangan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, menerusi penjualan barangan terpakai itu memberi peluang penduduk Melaka menjana pendapatan sampingan.

Katanya, antara barangan buangan yang akan dibeli adalah sisa minyak masak, fabrik dan barangan elektrik yang kemudiannya akan dikitar semula oleh agensi itu.

“Inisiatif ini sekali gus mampu menggalakkan rakyat negeri ini mengamalkan budaya kitar semula terhadap barangan terbuang.

“Perkara ini adalah inisiatif terbaik kerajaan negeri bagi memastikan masyarakat terus mempunyai kesedaran, malah dapat mengelakkan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal di negeri daripada ‘ketenatan’ akibat menanggung jumlah sampai semakin meningkat,” katanya selepas melancarkan Program Singgit Seposen di Wisma Negeri di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka Datuk Wira Dr Abu Bakar bin Mohamad Diah.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, satu stesen penimbang akan disediakan SWCorp di setiap taman perumahan terlibat di negeri ini.

“Stesen penimbang disediakan itu akan memudahkan penduduk menjual barangan terpakai kepada pihak SWCorp bagi menyemarakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti.

“Setakat ini, kita telah mewujudkan stesen berkenaan di beberapa kawasan dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan kita merancang akan memperluaskan ke seluruh Melaka secara berperingkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Program Singgit Seposen menggunakan konsep pandu lalu, iaitu peserta mendaftar di kaunter pengimbas dengan mengimbas Kod QR MySejahtera sebelum meletakkan barangan terpakai di kaunter mengikut kategori sisa yang dibawa.

Peserta kemudian menerima wang di kaunter bayaran dengan sisa minyak masak dibeli RM1 sekilogram, sisa elektronik iaitu alatan elektrik atau elektronik terpakai (RM0.20 sen sekilogram) dan sisa fabrik (RM0.10 sen sekilogram).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1046
Kongsi :
Previous post Malaysia sasar RM2 bilion nilai eksport produk coklat tahun ini
Next post Stadium Hang Jebat kembali ‘bernyawa’
Ubah saiz-+=