Mahkamah Singapura tolak rayuan Nagaenthran

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SINGAPURA, 29 Mac – Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan warganegara Malaysia Nagaenthran K. Dharmalingam berhubung hukuman mati yang dihadapinya.

Mahkamah membacakan keputusannya pada Selasa selepas mengekalkan penghakiman perbicaraan Nagaentran yang diadakan pada 1 Mac.

Peguam M Ravi menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan bahawa “Mahkamah @menganggap rayuan itu sebagai menyalahi proses dan undang-undang antarabangsa tidak terpakai.”

“Nagaenthran yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental akan dihukum gantung mungkin dalam beberapa hari akan datang,” menurut Ravi.

Ravi memberi bantuan teknikal kepada peguam Nagaentran, Violet Netto.

Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan panel hakim lima orang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon, Hakim Andrew Phang, Judith Prakash, Belinda Ang dan Chao Hick Tin.

Selain rayuan itu, peguamnya Violet Netto, turut memohon mahkamah menggunakan kuasanya bagi membolehkan Nagaenthran menjalani penilaian pakar psikiatri.

Nagaenthran yang berasal dari Perak dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas disabitkan kesalahan mengedar 42.72 gram dadah jenis heroin pada 2009 di Singapura yang diketahui antara negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling tegas di dunia.

Kes Nagaenthran telah menarik perhatian antarabangsa.

Pada 7 Nov 2021, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran berhubung kes ini.

Sementara itu pada 3 Dis lepas, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaenthran telah melalui segala proses mengikut undang-undang.

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya daripada segi intelek.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 10 Nov 2021 tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

860
Kongsi :
Previous post YB pujuk anak Papai
Next post Tidak bangga Telco untung RM1 bilion tetapi perkhidmatan untuk rakyat tidak memuaskan – Annuar
Ubah saiz-+=