Sorting by

×

MAIM PERKASA BSAT, LATIHAN BENCANA PERKUKUH TUGAS SUKARELAWAN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER MOLEK 19 Ogos – Badan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) yang diwujudkan sejak tahun 2002 terus diperkasa Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi pelbagai pengisian baharu termasuk program kebajikan masyarakat dan latihan bencana.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, BSAT di bawah MAIM itu merupakan salah satu daripada tiga pasukan yang digerakkan bersama Sukarelawan Balai Islam (SSBI) dan Sukarelawan Agihan Zakat (SAZ) dengan fokus kumpulan sasaran berbeza.

Katanya, BSAT yang diletakkan di bawah Bahagian Pembangunan Insan MAIM sebelum ini banyak melaksanakan gotong-royong rumah asnaf, namun kini, tanggungjawab itu diperluaskan bagi memberi nilai tambah dalam membantu masyarakat memerlukan.

“BSAT kini kita perluaskan skop ke hospital bagi menyantuni pesakit sebagai contoh jika yang dibantu memerlukan kaki palsu, ahli BSAT dapat membuat laporan untuk mendapatkan peralatan sokongan kaki palsu itu.

“Sehingga kini, BSAT mempunyai seramai 225 ahli berdaftar dan 80 daripadanya adalah ahli baharu yang menyertai badan itu tahun ini.

“Keahlian terbuka kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan muda kerana kebanyakan aktiviti melibatkan fizikal, namun ramai ahli veteran masih kekal aktif sejak awal penubuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Watikah Pelantikan Sukarelawan Al-Taqwa (BSAT) Tahun 2025 dan Program Kesiapsiagaan Bencana: Simulasi Operasi Menyelamat dan Bantuan yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman di Japerun Ayer Molek, pada Ahad.

Pada majlis tersebut, MAIM turut menganjurkan latihan simulasi bencana bagi melatih sukarelawan bertindak secara teratur ketika berdepan sebarang kes kecemasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

367
Kongsi :
Previous post DUN AYER LIMAU KENANG JASA 1,000 VETERAN ‘WIRA NEGARA’
Next post PPSPM PERKASA SISTEM KUALITI, TADBIR URUS LEBIH MANTAP