Sorting by

×

Majikan digesa ambil pekerja tempatan melalui MYFutureJobs dan PenjanaKerjaya

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

PUTRAJAYA, 11 Sept. – Kementerian Sumber Manusia menggesa majikan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan sebagai usaha mengurangkan kadar pengangguran dengan tujuan meningkatkan kesejahteraan orang ramai.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementeriannya mengutamakan agenda pengekalan pekerjaan dan pewujudan peluang pekerjaan yang memainkan peranan penting menyokong pemulihan ekonomi negara berikutan wabak COVID-19.

“Sehubungan itu, Kementerian telah menyusun beberapa rancangan transformasi strategik untuk meminimumkan kehilangan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran, dengan tujuan meningkatkan kesejahteraan orang ramai. Sehingga awal September tahun ini, lebih 78,800  pekerja telah diberhentikan di mana 38 peratus adalah dari kategori profesional dan pengurusan.

“Salah satu strategi transformasi yang dilaksanakan oleh Kementerian adalah menggalakkan pengambilan bakat tempatan. Beberapa Bidang Keberhasilan Utama Kementerian telah disusun semula dengan mengutamakan pengambilan bakat tempatan dan peningkatan berterusan kemahiran rakyat bagi mengukuhkan kebolehpasaran mereka serta mempersiapkan tenaga kerja tempatan untuk pekerjaan masa hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan medianya sebentar tadi.

Jelasnya, kerajaan telah melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja atau PenjanaKerjaya yang sedang dilaksanakan oleh agensi Kementerian, iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Program yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada bulan Jun tahun ini, merupakan salah satu penstabil utama dalam mengurangkan pengangguran di negara ini di samping menggiatkan pengambilan pekerja tempatan.

“Kementerian telah menyaksikan peningkatan yang tinggi dalam jumlah pendaftaran pencari kerja, kekosongan jawatan dan pengambilan pekerja tempatan termasuk kumpulan mudah terjejas seperti orang kelainan upaya (OKU), dalam tempoh dua setengah bulan sejak pelaksanaan Insentif Pengambilan dan Program Latihan.

“Insentif Pengambilan ini dikhaskan kepada majikan yang menggajikan lepasan sekolah, graduan, pekerja yang diberhentikan dan kumpulan mudah terjejas termasuk pekerja berusia yang sedang menganggur. Sejak dilaksanakan pada 15 Jun 2020 hingga 9 September 2020, program ini telah berjaya menempatkan 46,043 pencari kerja dengan pekerjaan yang sesuai,” katanya.

Beliau menambah, bagi majikan yang ingin mengambil pekerja asing, mereka digalakkan untuk berdaftar di portal Perkhidmatan Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs serta mengiklankan jawatan kosong sekurang-kurangnya selama 30 hari sebagai syarat oleh kerajaan untuk majikan yang merancang mengambil pekerja asing dan juga ekspatriat.

“Kementerian prihatin terhadap peluang pekerjaan untuk graduan baru yang akan membanjiri pasaran tenaga kerja tidak lama lagi sekiranya majikan menawarkan pekerjaan sedia ada kepada pekerja asing serta ekspatriat, dan bukannya kepada rakyat Malaysia.

“Saya menggesa para majikan supaya mengambil bahagian secara aktif dalam karnival kerjaya dan temuduga terbuka mingguan yang diadakan di seluruh negara di semua cawangan PERKESO bagi mencari bakat tempatan dan memanfaatkan insentif pengambilan antara RM800 hingga RM1,000 sehingga tempoh enam bulan. Program latihan juga disediakan untuk pekerja yang digajikan di bawah program Insentif Pengambilan Pekerja.

“Beberapa amalan terbaik dalam mengutamakan bakat tempatan yang dilaksanakan di luar
Malaysia telah melihatkan hasil yang memberangsangkan, contohnya di Arab Saudi melalui
Skim ‘Saudization’ dan Skim Sokongan Pekerjaan di Singapura, di mana insentif disediakan
kepada majikan bagi menggajikan dan mengekalkan pekerja tempatan,” tambahnya.

Views:

445
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes baharu melonjak 182, 181 penularan tempatan
Next post MU ‘curi’ satu mata
Ubah saiz-+=