Majlis nikah boleh tapi mesti di Pejabat Agama Islam Daerah

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 12 Mei. – Majlis akad nikah dibenar dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bemula hari ini hingga 7 Jun.

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata, majlis akad nikah bagaimanapun hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID atau mana-mana lokasi ditetapkan JAIM dan tidak dibenarkan untuk mengadakan majlis itu di rumah atau pun premis perniagaan.

Katanya, majlis berkenaan akan diadakan pada tarikh dan waktu ditetapkan JAIM sahaja.

“Jumlah kehadiran ketika majlis akad nikah dijalankan tidak melebihi 10 individu termasuk jurunikah atau pendaftar nikah, wali, pengantin lelaki dan perempuan serta dua saksi yang terdiri daripada kakitangan PAID atau ahli masjid kariah.

“Tempoh majlis dihadkan 20 minit termasuk bacaan khutbah nikah dan taklik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pasangan pengantin bagaimanapun digalakkan untuk menangguhkan majlis akad nikah dalam tempoh PKP 3.0 bagi membantu kerajaan mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Pengantin dan keluarga daripada kawasan zon merah perlu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum akad nikah dan mengemukakan keputusan itu kepada jurunikah sebelum majlis.

“Jurunikah atau pendaftar nikah, cerai dan rujuk boleh menangguhkan majlis sekiranya pengantin atau keluarga tidak mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2224
Kongsi :
Previous post PGA7 rampas ubat batuk bernilai RM192,000
Next post Beli kelengkapan Aidilfitri pada saat akhir
Ubah saiz-+=