Beli kelengkapan Aidilfitri pada saat akhir

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 12 Mei. – Biarpun kerajaan mengumumkan aktiviti ziarah Aidilfitri tidak dibenarkan di seluruh negara tahun ini, ia bukan penghalang segelintir masyarakat membuat persiapan termasuk pada saat akhir.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sebuah pasar raya di sini mendapati masih ada pasangan suami isteri membeli barangan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam kadar sederhana.

MARIANTI.

Seorang pengunjung Marianti Abdul Kadir, 42, berkata dia memilih membuat persiapan di saat akhir disebabkan kesibukan bekerja selain untuk mengelak terpaksa bersesak di dalam pasar raya.

“Saya bekerja dan tiada cuti, jadi saat-saat akhir ini kita beli barang biasa saja macam karpet, barang-barang dapur dan sedikit kuih raya.

“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, saya tetap beraya sebab ibu bapa saya dan suami sudah tiada dan beraya pun hanya dengan keluarga sendiri di sini,” katanya kepada MHI.

Katanya, sememangnya dia merindui adik-beradik yang menetap di Kuala Lumpur, namun terpaksa akur dengan keputusan kerajaan demi mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Saudara mara pun tiada di sini, ramai di Kuala Lumpur jadi kami di sini kalau PKP pun tidak mengapa, tak PKP pun tiada masalah.

“Hari Raya kami tetap sambut sebab kasihankan anak perempuan hanya seorang…dia nak merasai suasana Hari Raya pakai baju raya, kasut dan beg baru,” katanya lagi.

HISHAMUDDIN bersama isteri membeli barangan keperluan untuk memasak pada pagi Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Hishamuddin Abdul Karim, 48, pula pada awalnya dia dan keluarga tidak merancang untuk memasak juadah Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Kami tak rancang sebenarnya untuk memasak, tapi saat akhir isteri beritahu nak sediakan sedikit juadah Aidilfitri, jadi saya singgah di pasar raya ini untuk beli barang keperluan.

“Isteri saya ni memang pandai masak sambal udang dan ini antara menu utama raya, lain-lain persiapan hanya ala kadar contohnya baju raya pakai mana yang ada.

“Tidak perlu berlebih-lebih sebab dekat luar sana ada lagi golongan yang tidak bernasib baik sepanjang penularan pandemik COVID-19 ini,” katanya yang menetap di Bukit Beruang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post Majlis nikah boleh tapi mesti di Pejabat Agama Islam Daerah
Next post Bunuh dan liwat bayi sembilan bulan, penganggur didakwa
Ubah saiz-+=