Bunuh dan liwat bayi sembilan bulan, penganggur didakwa

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PETALING JAYA 12 Mei. – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dan meliwat seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang merupakan anak asuhan isterinya di sebuah pangsapuri di sini, tiga minggu lalu.

Mohamed Badruldin Mohamed, 36, mengangguk faham bagi pertuduhan membunuh manakala bagi pertuduhan meliwat, lelaki itu mengaku tidak bersalah.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Badruldin didakwa membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, di sini, antara 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi pertuduhan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan kedua pula, dia dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas bayi itu di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkannya diikat jamin kerana kesalahan bunuh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin dan menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu menjadi perhatian ramai selepas pihak polis pada sidang akhbar semalam antaranya berkata bayi berkenaan dipercayai dibunuh dan diliwat suami kepada pengasuh bayi itu di sebuah rumah di sini semasa mangsa dikatakan berada di dalam bilik tidur bersama lelaki berkenaan manakala isterinya (pengasuh) sedang menyapu di luar kediaman mereka.

BERITA BERKAITAN: Bayi sembilan bulan maut diliwat suami pengasuh

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post Beli kelengkapan Aidilfitri pada saat akhir
Next post Menyorok dalam but kereta kerana mahu beraya dengan suami, wanita Indonesia ditahan di SJR
Ubah saiz-+=