Makan malam bersama ‘jembalang’

BANDARAYA MELAKA 16 Disember – Berkonsepkan seram, mistik dan misteri, restoran ‘Bunian and The Haunted Cafe’ antara lokasi persinggahan wajib jika berkunjung ke Melaka Bandaraya Bersejarah.

Lokasi restoran berhadapan Muzium Hantu di Jalan Kampung Hulu, menaikkan lagi ‘mood’ seram dalam kalangan pengunjung yang mahu menikmati makan malam dalam suasana berbeza dan unik.

Bunian and The Haunted Cafe adalah cetusan idea pasangan usahawan muda yang juga suami isteri Rohzairee Zainal, 30 dan Aqilah Faqihah Abdul Karim, 26.

KONSEP MISTIK

Rohzairee berkata restoran yang baharu saja memulakan operasi 17 Disember lalu itu sebenarnya menggabungkan restoran dan rumah hantu.

Jelasnya, konsep itu masih baharu di Melaka kerana beberapa premis sudah beroperasi termasuk di negeri lain sebelum ini hanya berkonsepkan restoran mistik sahaja.

“Contoh di Selangor dan Kuala Lumpur sudah ada restoran atau kafe berkonsepkan hantu, mistik, tetapi kami gabungkan kedua-duanya bawah satu bumbung. Kami menjual konsep ‘makan ditemani hantu’ dan menu yang ditawarkan lebih kepada hidangan barat.

“Susun atur restoran ini juga berbeza dengan tempat makan lain, perasaan seperti masuk rumah hantu. Masuk pintu lain keluar pun pintu lain. Semuanya kena dengan ‘tagline’ kami Bunian and The Haunted Cafe ini ‘Masuk Tiada Jalan Keluaw’,” katanya.

photo1671008031
HANTU bunian bergambar bersama pengunjung cilik yang datang mencuba kelainan di Bunian The Haunted Cafe, Jalan Kampung Hulu, Melaka. Foto: MR. AZLI

SAMBUTAN HANGAT

Sebelum memulakan operasi Rohzairee dan isteri menjemput jemaah daripada sebuah masjid untuk mengadakan doa selamat, memandangkan lokasi itu sebelumnya adalah sebuah pusat hiburan.

“Masa awal-awal dibuka, kami tidak menjangkakan sambutan yang hangat dan memberangsangkan daripada pengunjung. Sebab apabila kita promosi di laman sosial, ramai tidak boleh terima konsep ini.

“Namun selepas seminggu dibuka, orang ramai tidak berhenti mengunjungi restoran. Memang rasa bersyukur sangat dan harap sentiasa akan ada pelanggan,” ujarnya yang mula menceburi bidang perniagaan selepas diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19.

photo1671007547
PERSEMBAHAN tarian hantu di Bunian The Haunted Cafe, Jalan Kampung Hulu, Melaka. Foto: MR. AZLI

BUNIAN THE HAUNTED CAFE ‘KERAS’ ?

Dia turut berkongsi pengalaman mistik yang dialaminya sendiri, isteri dan pekerja sepanjang restoran Bunian and The Haunted Cafe beroperasi.

“Masa kejadian, ada pelanggan datang ke restoran dan saya sendiri nampak empat orang duduk di sebuah meja. Tetapi yang pesan makanan tiga orang sahaja. Saya tanya seorang lagi tidak mahu buat pesanan ke, lalu mereka (pelanggan) kata memang datang bertiga bukan berempat.

“Ketika itu saya diamkan diri sahaja. Apabila ada perkara-perkara mistik berlaku, diamkan sahaja, itu tipsnya, itu yang dikatakan rezeki, sebab tidak semua boleh nampak dan rasa,” katanya.

Dia memberitahu pekerjanya turut mengalami kejadian mistik apabila melihat ramai pelanggan dalam restoran meskipun ketika itu mereka sudah menamatkan operasi.

“Restoran tutup jam 11.30 malam dan pada hari kejadian seorang pekerja kembali semua ke kedai untuk ambil barang tertinggal. Bila dia (pekerja) jenguk dari tingkap ke dalam kedai, nampak ‘ramai’ dalam restoran, lalu membatalkan hasratnya dan terus pulang.

“Akibat kejadian pekerja itu demam selama tiga hari. Pernah juga, masa pekerja yang menjadi hantu dengan memakai kostum kena sampuk, tiba-tiba sahaja melompat tinggi dan buka bunga silat..ada banyak lagi, tapi kalau nak rasa sendiri ‘keras ke tak keras’ Bunian The Haunted Cafe ini, pengunjung kena datang dan rasai sendiri,” ujarnya.

photo1671007313
GANGGUAN bunian ketika pelanggan menikmati hidangan di Bunian The Haunted Cafe, Jalan Kampung Hulu, Melaka. Foto: MR. AZLI

NAMA BUNIAN THE HAUNTED CAFE

Sementara itu Aqilah Faqihah menerangkan, nama Bunian and The Haunted Cafe itu diambil selepas berbincang bersama suaminya yang gemar menonton filem seram.

“Suami memang peminat cerita seram, kebetulan apabila dapat sewa kedai ini, berdasarkan lokasi betul-betul berhadapan Muzium Hantu, memang kebetulan. Jadi kami berdua sepakat untuk buka kedai makan berkonsepkan hantu.

“Pada awalnya, apabila buat promosi di laman sosial seperti di Facebook, Tik Tok dan Instagram memang ramai yang mengecam, ada yang kata tahyul, syirik buat konsep macam ini.

“Tidak kurang juga ada yang kata buat kedai makan tapi makan dengan syaitan…Memang agak ‘down’ tapi kami suami isteri saling beri semangat dan teruskan juga,” jelasnya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3804
Previous post Runtuhan tanah batang kali libatkan 450,000 meter padu tanah
Next post Identiti 11 mayat insiden tanah runtuh Batang Kali belum dikenal pasti – Dr Zaliha