Malaysia berjaya bendung penularan Covid-19, kejayaan semua – Muhyiddin

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

PUTRAJAYA 7 Jun — Malaysia telah berjaya membendung penularan COVID-19 dengan berkesan sehingga ini, dan kini sedang memasuki fasa pemulihan hasil usaha keras petugas barisan hadapan selain kerjasama diberikan oleh rakyat, dalam mematuhi arahan yang ditetapkan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu kapasiti perubatan dan kesihatan awam negara juga berada pada tahap yang lebih baik dan meyakinkan, sekali gus ini menunjukkan Malaysia telah berjaya membendung penularan COVID-19 dengan berkesan.

“Statistik Kementerian Kesihatan memperlihatkan kadar jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal. Kebanyakan kes yang dicatatkan sejak kebelakangan ini adalah kes import dan kes-kes yang melibatkan pendatang asing tanpa izin, di depot-depot tahanan imigresen.

“Kita bersyukur kerana tindakan pantas para petugas barisan hadapan, telah berjaya membendung penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan di depot imigresen dan keadaan pada masa ini adalah terkawal,” katanya.

Muhyiddin hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas, bagi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

PKPB yang sebelum ini dilaksanakan dari 4 hingga 12 Mei, membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

PKPB kemudian dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun (Selasa) ini.

Muhyiddin dalam pengumuman itu juga berharap, rakyat terus berdisiplin dan beristiqamah bagi mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk memastikan penularan wabak ini kekal terkawal, sekali gus membolehkan negara memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020, sehinggalah vaksin untuk virus COVID-19 ditemui.

“Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan,” katanya.

Sehubungan dengan pelaksanaan PKPP ini, Perdana Menteri menyeru rakyat untuk mengguna pakai aplikasi MySejahtera, yang telah dibangunkan kerajaan untuk membolehkan mereka melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Jelasnya, aplikasi ini juga akan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan yang cepat, tepat, dan berkesan, untuk mengenal pasti dan memaklumkan kontak rapat sekiranya berlaku kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat.

“Apa yang penting ialah kita semua mestilah bersedia untuk membudayakan kebiasaan baharu dalam kehidupan kita. Ya, adakalanya kita merasakan sedikit sukar untuk mengamalkannya, tetapi percayalah setiap kesukaran itu akan disusuli dengan kesenangan,” katanya.

Muhyiddin dalam pengumuman itu juga, menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan dan rakyat semua yang telah menyumbang kepada kejayaan negara membendung wabak COVID-19.

“Kejayaan ini adalah kejayaan anda semua. Anda telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa, dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan sepanjang PKP dan PKPB dilaksanakan,” tambahnya.

— BERNAMA

Views:

274
Kongsi :
Previous post Anggota bomba dalam perjalanan hadiri latihan kemahiran maut
Next post Perjalanan rentas negeri, antara aktiviti dibenarkan mulai Rabu ini – Muhyiddin
Ubah saiz-+=