Perjalanan rentas negeri, antara aktiviti dibenarkan mulai Rabu ini – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PUTRAJAYA 7 Jun — Perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPB), umum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan PKPB yang akan berakhir Selasa ini, Muhyiddin berkata itu merupakan antara beberapa kelonggaran yang dibenarkan ketika negara berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

“Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa yang tinggal berjauhan di negeri yang lain, boleh berbuat berbuat demikian. Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

“Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri, berkata turut dibenarkan dalam tempoh PKPP ialah aktiviti komersial melibatkan pemasaran bukan dalam premis perniagaan, lawatan ke muzium, aktiviti ‘indoor busking’, akitiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial.

Muhyiddin berkata mulai tarikh PKPP dikuatkuasa, dobi layan diri dan penggambaran filem serta penganjuran mesyuarat dan bengkel, turut dibenarkan dengan syarat protokol kesihatan dipatuhi dan penggunaan ruang dioptimumkan.

Bagi aktiviti sukan dan rekreasi pula, beliau berkata ia dibenarkan selagi tidak melibatkan sentuhan badan seperti sukan boling, badminton, memanah dan menembak, termasuk aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal.

“Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki,” katanya.

Selaras fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik juga dibenarkan, namun bagi yang berhasrat melancong ke luar negara, katanya ‘tunggu dahulu’ kerana sempadan negara masih ditutup buat masa ini.

Mengenai sekolah, Muhyiddin ambil maklum sudah pastinya, ramai ibu bapa yang tertanya-tanya tarikh ia akan dibuka semula.

“Untuk makluman saudara-saudari, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

“Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi,” katanya.

— BERNAMA

Views:

342
Kongsi :
Previous post Malaysia berjaya bendung penularan Covid-19, kejayaan semua – Muhyiddin
Next post Inti pati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
Ubah saiz-+=