Malaysia kekal kompetitif tarik pelaburan asing pasca COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Malaysia kekal kompetitif untuk menarik pelaburan asing dalam tempoh pasca COVID-19 berdasarkan prestasi yang meyakinkan pada tahun ini berbanding tahun lalu, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun tidak menolak anggapan bahawa terdapat syarikat asing yang telah bertindak menarik pelaburan mereka di negara ini berikutan pandemik COVID-19.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang dibuat syarikat asing tersebut dan bukannya berpunca daripada persekitaran negara yang tidak kondusif.

“Pelbagai faktor telah diambil oleh syarikat asing untuk memilih destinasi pelaburan mereka termasuklah kos buruh yang rendah, saiz pasaran domestik dan sumber mineral sedia ada,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Fong Kui Lin (PH-Bukit Bintang) mengenai status pelaburan asing yang menarik keluar pelaburan mereka di negara ini berikutan pandemik COVID-19 dan ingin tahu sama ada mereka akan kembali melabur di dalam negara dalam tempoh pasca COVID-19.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia telah menarik pelaburan sebanyak RM107.5 bilion meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

Jumlah ini menunjukkan lonjakan yang ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion dalam tempoh sama pada 2020.

Daripada jumlah itu, katanya pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion berbanding RM19.8 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Malah, katanya laporan Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2021 turut menaikkan daya saing global Malaysia sebanyak dua anak tangga pada kedudukan ke-25 daripada 64 ekonomi, berbanding kedudukan ke-27 pada 2020.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengemaskini angka pelaksanaan Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui MITI yang bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi pekerja sektor pembuatan.

Sehingga 25 Sept 2021, katanya sebanyak 1.06 juta pekerja telah diberi janji temu di bawah PIKAS iaitu 1,000,826 pekerja telah diberikan dos pertama manakala 899,626 pekerja telah mendapat imunisasi penuh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post RMK-12: Cukai karbon akan diperkenalkan – PM
Next post Bantuan RM3,000 bagi agensi pelancongan berlesen di bawah MOTAC
Ubah saiz-+=