MANFAAT RAKYAT JADI ‘SCORECARD’ SEBENAR MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Kejayaan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian di atas kertas semata-mata, sebaliknya menerusi hasil projek yang dapat dilihat dan dirasai secara langsung oleh rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, manfaat yang diterima rakyat perlu menjadi ukuran sebenar kepada keberkesanan setiap dasar dan projek pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Dalam permainan golf ada scorecard. Dalam pentadbiran Kerajaan Negeri juga kita mempunyai scorecard, tetapi scorecard sebenar apabila jalan yang rosak dapat dibaiki, projek dapat disiapkan mengikut masa dan kemudahan awam berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Golf JKR Negeri Melaka Tahun 2026 di sebuah kelab golf, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Pengarah JKR negeri, Ir. Mohamad Salzeli Moktar serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, dalam konteks pembangunan negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan antara jentera utama Kerajaan Negeri dalam menterjemahkan dasar dan perancangan kepada projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, peranan JKR bukan sekadar sebagai jabatan teknikal, malah menjadi antara tonggak penting dalam memastikan projek pembangunan negeri dilaksanakan secara berkesan, mengikut jadual dan menepati kualiti ditetapkan.

“Daripada jalan raya dan jambatan sehinggalah bangunan serta kemudahan awam, sebahagian besarnya adalah hasil kerja JKR yang berada begitu dekat dengan kehidupan rakyat setiap hari.

“Setiap projek memerlukan perancangan tepat, reka bentuk yang baik, kos terkawal, pelaksanaan mengikut jadual serta kualiti yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Menurutnya, budaya kerja berorientasikan hasil perlu sentiasa diberi keutamaan dengan kejayaan Kerajaan Negeri dinilai berdasarkan perubahan serta manfaat yang diterima rakyat.

Katanya, setiap ringgit yang dibelanjakan Kerajaan Negeri juga perlu memberikan nilai terbaik kepada rakyat, selaras dengan semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang meletakkan kepentingan serta manfaat rakyat sebagai keutamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kerjasama erat antara JKR dan pemain industri yang terjalin menerusi Kejohanan Golf JKR Melaka perlu diteruskan di luar padang menerusi kerjasama strategik dalam pelaksanaan pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri menyediakan hala tuju, jabatan melaksanakan projek dengan cekap, industri menyumbang kepakaran serta inovasi dan akhirnya rakyat menerima manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.

“Justeru, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan projek yang dirancang bukan sahaja siap, tetapi memberikan nilai sebenar kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

684
Kongsi :
Previous post ‘RC POWER BOAT’ SERLAH POTENSI BAHARU TASIK CHINCHIN
Next post ‘BERMODALKAN’ KEMAHIRAN, ANAS BINA EMPAYAR PENYAMAN UDARA