Mangsa banjir tidak perlu takut

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR, 22 Nov – Kawalan pencegahan jenayah akan dipertingkatkan membabitkan beberapa kawasan di tiga daerah di negeri ini susulan banjir yang melanda sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, anggota polis akan ditempatkan dikawasan perumahan dan kampung yang terjejas bagi melakukan pemantauan dan rondaan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia dalam menjaga keselamatan masyarakat dan mereka yang terjejas serta perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hanya perlu memaklumkan kepada polis.

“Ada di antara penduduk yang takut untuk berpindah kerana khuatir akan berlaku kehilangan barangan beharga dan saya telah memaklumkan kepada ketiga-tiga Ketua Polis Daerah (KPD) kita akan meningkatkan pencegahan jenayah.

“Di mana rumah yang ditinggalkan akan dilakukan rondaan serta kami menggalakkan mereka yang perlu ke PPS atau terpaksa berpindah sementara kerana banjir memaklumkan kepada polis supaya rumah mereka dapat diberi tumpuan,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat tidak perlu  takut untuk meninggalkan rumah kerana polis akan memantau dan memastikan keselamatan kediaman mereka.

Sementara itu, Abdul Majid turut mengingatkan masyarakat supaya terus mematuhi dan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Melaka sudah ditamatkan semalam.

“Meskipun PKPB sudah berakhir saya mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi SOP ditetapkan dalam kita sama- sama mengekang dan memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Views:

324
Kongsi :
Previous post Sembilan lagi keluarga dipindahkan ke PPS SK Ayer Molek
Next post Warga Johor ambil kesempatan bercuti di Melaka
Ubah saiz-+=