Mantai meriah di sempadan Melaka-Negeri Sembilan
AYER LIMAU 1 Mei – Tinggal dua hari sahaja lagi sebelum Aidilfitri, anggota komuniti di sini yang bersempadan dengan Rembau, Negeri Sembilan sibuk membuat persiapan menjelang perayaan itu atau lebih dikenali sebagai mantai.
Kawasan ini yang menerima pengaruh dialek dan adat perpatih Negeri Sembilan, dipenuhi dengan aktiviti orang ramai, terutama suri rumah berbelanja untuk mendapatkan daging lembu atau kerbau, selain ayam serta itik.
Tinjauan di pekan ini dan beberapa kampung sekitar Lubok Cina hari ini mendapati, laluan Masjid Tanah-Lubok Cina sepanjang kira-kira 20 kilometer dipenuhi dengan gerai menjual daging.
Selang hampir setiap lima kilometer, ada gerai berkenaan yang menyaksikan peniaga tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan.
Sabariah Mohd Noor, 53, berkata dia membuat persiapan hari ini tanpa mahu menunggu esok kerana esok bakal dipenuhi dengan kesibukannya memasak rendang, merebus ketupat dan membakar lemang.
“Saya buat persiapan ala kadar sahaja kerana wang yang ada saya lebih pentingkan untuk membeli beras dan bahan makanan lain.
“Saya tidak ada anak manakala suami pula sudah meninggal dunia 20 tahun lalu tetapi saya tetap ceria menyambut Aidilfitri tanpa lupa arwah suami,” katanya ketika ditemui mendapatkan daging lembu di Kampung Paya Rumput, di sini.
Sementara itu, tinjauan di pusat penternakan ayam kampung dan itik di Kampung Telok Berembang, Lubok Cina mendapati penternak terbabit tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
Mohd Nazri Hamzah, 38, dan Mohd Alif Shafili Zainal Abidin, 35, sibuk melayur ayam kampung dan itik sebelum memotongnya mengikut kehendak pelanggan.
Dia berkata, hari ini sahaja dia menyiapkan pesanan pelanggan untuk mendapatkan lebih 100 ayam kampung dan 30 itik pedaging.
“Alhamdulillah, ayam kampung dan itik yang kami pelihara mendapat permintaan tinggi sepanjang hari mantai semalam dan hari ini.
“Lebih 100 ayam kampung yang saya pelihara sejak enam bulan lalu sudah habis dijual hari ini manakala masih ada itik pedaging yang boleh dijual esok,” katanya.
Dia berkata, menjelang hari mantai esok, dia menjangka baki 20 itik pedaging mampu dipasarkan berikutan esok adalah mantai terakhir sebelum umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri lusa.
Katanya, sambutan pelanggan terhadap haiwan peliharaannya itu di luar jangkaan tahun ini kerana ketiadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding tahun lalu dan tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, dia mengucapkan kesyukuran berikutan perniagaan amat memuaskan tahun ini berbanding PKP 1.0 pada 2020 dan PKP 2.0 tahun lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.