MARA suntik semangat abang mekanik

Masa Membaca:59 Saat

DUYONG 2 Disember – Memiliki peralatan berteknologi tinggi untuk pemeriksaan rapi bahagian suspensi kenderaan dianggap sebagai bonus bagi Wan Mohd Faisal Wan Hassan.

Selepas enam tahun menunggu dia akhirnya berjaya memiliki peralatan ‘shock dynotest’, ‘spring rate tester’ dan ‘clubman race scales’ hasil bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Program Pembangunan Usahawan Teknikal (PUTEK).

Katanya, sebelum permohonan diluluskan dia perlu menunjukkan kesungguhan dan meyakinkan pihak MARA mengenai faedah dan kepentingan peralatan itu bagi pengusaha bengkel membaiki kenderaan sepertinya.

“Syukur alhamdulillah permohonan saya lulus dan menerima geran pada Jun lalu. Jika mahu beli menggunakan wang sendiri memang diluar kemampuan kerana harganya mencecah ratusan ribu ringgit.

“Saya tertarik dengan kemampuan alat canggih ini selepas diberi pendedahan mengenainya ketika melawat sebuah kilang automotif di Shah Alam, Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Peralatan Suspensi Kenderaan Oleh MARA Negeri Melaka kepada syarikat miliknya, di Taman IKS Duyong, semalam.

Katanya setakat ini dianggarkan cuma 10 bengkel di Malaysia memiliki peralatan itu dan dia berasa amat bertuah kerana menjadi pengguna pertama di Negeri Melaka.

“Dengan peralatan yang ada selepas ini saya berharap dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada pelanggan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2304
Kongsi :
Previous post Mahasiswa disaran aktif misi sukarelawan bencana
Next post Sultan Nazrin terima menghadap Perdana Menteri di Istana Kinta
Ubah saiz-+=