Mahasiswa disaran aktif misi sukarelawan bencana
KUALA LINGGI 2 Disember – Mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka dipelawa untuk menyertai pertubuhan sukarelawan bencana terutama dalam membantu mangsa banjir atau bencana lain berlaku di negeri ini.
Pengerusi Skuad Sukarelawan Bencana Melaka, Ashwad Abd Rahim berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima mahasiswa sebagai sukarelawan.
Katanya, meskipun baru ditubuhkan tahun lalu Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu aktif dalam misi sukarelawan dan membantu mangsa bencana di seluruh negara.
“Jika mahu menimba pengalaman sebagai sukarelawan mahasiswa dipelawa untuk menyertai kami. Selain membantu mangsa bencana kami juga kerap menganjurkan kursus menyelamat dan bantuan kecemasan dengan kerjasama agensi berkenaan.
“Meskipun banjir melanda Melaka tidak serius berbanding beberapa negeri lain, tetapi kebajikan mangsa terjejas tetap menjadi fokus utama kami,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Logo, Lagu Rasmi dan Penyerahan Peranti Siswa di Universiti Melaka (UNIMEL), di sini, semalam.
Ashwad berharap kerjasama dijalin bersama UNIMEL mampu menarik perhatian lebih ramai penuntut IPT lain untuk aktif bersama NGO itu.
Menurutnya setakat ini NGO itu mempunyai 107 orang ahli dan dilengkapi dengan peralatan sesuai untuk melakukan misi membantu mangsa bencana seperti jaket keselamatan, peti kecemasan serta tujuh buat bot penyelamat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.