Maritim Malaysia bantu nelayan terputus jari di laut

Masa Membaca:57 Saat

KOTA TINGGI, 26 Mac – Seorang nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila jarinya terputus ketika sedang menarik pukat di perairan Tanjung Sedili, pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kecemasan pada jam 9.20 pagi daripada nelayan tempatan memaklumkan bahawa salah seorang rakan mereka putus jari akibat tersepit pada mesin penarik pukat di kedudukan 10.8 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Besar.

Bot pengadu juga dilaporkan tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.

Mangsa, Azri bin Ariffin, 46, putus satu jari akibat tersepit ketika melakukan kerja-kerja menarik pukat.

Berikutan itu, Maritim Malaysia segera mengkoordinasikan bantuan MEDEVAC dengan menghubungi komuniti maritim yang berada berdekatan untuk mengambil mangsa di lokasi.

Mangsa seterusnya telah dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili pada jam 1.45 petang dan dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk menerima rawatan awal dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail bagi menerima rawatan lanjut.

Pihak Maritim Malaysia merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada komuniti maritim khasnya pemancing yang terlibat dalam memberikan bantuan dengan pantas kepada mangsa terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1108
Kongsi :
Previous post Pakar perubatan keluarga di Malaysia masih rendah – KP Kesihatan
Next post Lapor keputusan palsu COVID-19, boleh dikenakan tindakan undang-undang – Khairy
Ubah saiz-+=