Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup syabu bernilai RM400,000, tahan dua PATI

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LINGGI 28 Mei – Cubaan sindiket untuk menyeludup dadah bernilai RM400,000 ke negara jiran digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, selepas menahan dua lelaki warga Indonesia di perairan Kuala Linggi di sini, awal pagi tadi.

Penahanan suspek pendatang tanpa izin (PATI) berusia 34 dan 43 tahun itu dilakukan jam 2.30 pagi tadi menerusi Op Belangkas rutin, bagi mencegah jenayah rentas sempadan.

Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, dalam rondaan itu pihaknya mengesan bot dinaiki suspek pada kedudukan 11.6 batu nautika barat daya dari Tanjung Dahan dekat sini.

LOKASI bot suspek dipintas dan ditahan pihak Maritim Malaysia. Foto ihsan Maritim Malaysia.

Katanya, menyedari keadaan bot berkenaan mencurigakan pihaknya mengejar dan cuba memintasnya bagi untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot berkenaan menemukan 10 bungkusan plastik hijau tertera tulisan ‘teh’ disyaki mengandungi dadah syabu seberat 10 kilogram bernilai RM400,000.

“Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa keluar dari negara ini untuk diseludup ke Indonesia, namun belum dapat dipastikan destinasi sebenar sindiket penyeludupan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PENGARAH Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selain itu bot menggunakan enjin 60 kuasa kuda berkenaan juga tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Berikutan itu bot bernilai RM50,000 dan rampasan dadah dibawa ke ke Jeti Maritim Kuala Linggi sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Haris Fadzillah, siasatan masih diteruruskan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Maritim Melaka dan Negeri Sembilan akan meningkatkan lagi rondaan di kawasan titik panas supaya kegiatan dan rangkaian sindiket penyeludupan dadah, rokok dan PATI ke negeri ini dapat dibanteras.

“Orang ramai dan komuniti maritim diminta untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat jenayah kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06- 3876730.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Permintaan sanitasi bagi masjid, surau di Melaka meningkat sepanjang Ramadan – JBPM
Next post Sultan Ibrahim cadang ‘lockdown’ bersasar negeri bersempadan tangani kes COVID-19
Ubah saiz-+=