Masalah mental, kewangan dan dadah faktor utama berlaku penderaan anak

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 5 Feb. – Masalah mental, kewangan dan dadah antara faktor utama berlaku penderaan terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Konsultan Psikiatri Mahkota Medical Centre (MMC), Dr. David Yeoh Boon Beng berkata, tiga faktor itu penyumbang kepada kes penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian kanak-kanak.

“Semua faktor ini menjadikan ibu bapa mengambil jalan mudah melepaskan tekanan mereka kepada anak-anak.

“Contohnya, jika ada masalah kewangan ibu bapa akan mengabaikan anak mereka dengan tidak memberi makan dan minum, pakaian yang tidak cukup dan banyak lagi.

“Selain itu kalau ibu bapa ada konflik mereka akan lepaskan pada anak-anak, kes macam ini kita kerap jumpa yang mana mereka (ibu bapa) mengambil mudah tanpa memikirkan emosi anak selepas itu,” katanya.

Dr David berkata demikian ketika ditemu bual Melaka Hari Ini mengenai kes penderaan kanak-kanak menerusi aplikasi Zoom, semalam.

Jelasnya, bila berlaku kes penderaan kanak-kanak, ibu bapa seharusnya mendapatkan rawatan dengan memulakan langkah pencegahan.

“Saya cadangkan ibu bapa ambil langkah pencegahan dengan menjaga mental dan fizikal kita.

“Paling utama kita perlu kurangkan tekanan, lakukan dan rancang aktiviti yang bagus untuk keluarga sama ada beriadah atau meluangkan masa bersama,” katanya.

Menurutnya, pendidikan mengenai kesedaran juga perlu diperluaskan supaya dapat membantu masyarakat di luar menghindari kes penderaan kanak-kanak.

“Ini kerana kita tahu kes penderaan kanak-kanak masih berterusan hingga hari ini, tapi masih ramai yang ambil mudah dan tidak membuat aduan kepada pihak berkuasa.

“Guru-guru juga perlu berperanan mendidik anak-anak murid mereka dengan memberikan informasi mengenai kes penderaan kanak-kanak ini,” katanya lagi.

Views:

4332
Kongsi :
Previous post Polis sambung reman seminggu lagi terhadap pasangan suami isteri
Next post MUFC nafi ‘serah’ Apek kepada JDT
Ubah saiz-+=