MELAKA MEMILIH PADA 14 NOVEMBER, 687,697 RAKYAT LAYAK MENGUNDI

Masa Membaca:3 Minit, 8 Saat

KOTA LAKSAMANA 7 Oktober – Rakyat Melaka akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November 2026 (Sabtu), umum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-16, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober 2026, manakala 10 November 2026 ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari,” katanya kepada pemberita.

Jelas beliau, berdasarkan daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 22 September 2026, seramai 687,697 rakyat negeri ini layak mengundi.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 675,166 merupakan pengundi biasa, 9,769 orang tentera serta pasangan dan 2,762 anggota polis.

“Para pengundi yang terlibat dalam PRU DUN Melaka Ke-16 boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.

Menurut Ramlan, sebanyak 271 pusat mengundi akan dibuka membabitkan sebanyak 1,263 tempat mengundi atau saluran.

“Bagi undi awal pada 10 November 2026, sebanyak 31 pusat mengundi membabitkan 50 tempat mengundi atau saluran awal dibuka.

“Manakala, bagi pengundi biasa pada 14 November, sebanyak 240 buah pusat mengundi dibuka membabitkan 1,213 tempat mengundi atau saluran,” katanya.

Menurut beliau, seramai 11,175 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan PRN Melaka.

“Selain itu, bagi menjalankan proses PRN Melaka, SPR telah melantik 28 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 80 orang Penolong Pegawai Pengurus.

“Manakala, bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi
berkempen, SPR akan menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Menurutnya, anggaran perbelanjaan bagi melaksanakan PRN Melaka Ke-16 adalah sebanyak RM28.45 juta.

Dalam pada itu, Ramlan memaklumkan, SPR akan memperluaskan projek rintis Sistem Optical Character Recognition – Voter Attendance (OCR-VA) ke semua saluran di setiap pusat mengundi bagi PRN Melaka Ke-16.

Jelas beliau, pelaksanaan sistem itu membabitkan kesemua 28 Bahagian Pilihan Raya Negeri DUN Melaka sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat kecekapan pengurusan proses pilihan raya menerusi pendigitalan.

“Pelaksanaan projek rintis OCR-VA ini adalah bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi secara automatik melalui pengimbasan maklumat pada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Menurutnya, penggunaan sistem berkenaan dapat mempercepatkan proses semakan dan rekod kehadiran pengundi, selain mengurangkan kesilapan penandaan secara manual.

“Pada masa sama, sistem ini dapat meningkatkan kecekapan petugas dan melancarkan proses pengurusan pengundi pada hari mengundi,” katanya.

PRN Melaka Ke-16 diadakan susulan pembubaran DUN Melaka Ke-15 pada 23 September lalu.

Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021 yang lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN memenangi kerusi di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Lima kerusi dimenangi PH ialah Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN memenangi Sungai Udang dan Bemban.

PRN Melaka 2021 menyaksikan seramai 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

271
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: 14 HARI TEMPOH BERKEMPEN
Next post PRN MELAKA: SPR PERKENAL SISTEM OCR-VA, PERCEPAT SEMAKAN KEHADIRAN PENGUNDI