MUFC nafi ‘serah’ Apek kepada JDT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) menafikan khabar angin di laman sosial kononnya penjaga gol utama pasukan, Khairul Fahmi Che Mat akan menyertai juara Liga Super tujuh kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, berita yang tersebar itu sama sekali tidak benar yang bertujuan menjejaskan persiapan pasukan.

Jelasnya, Khairul Fahmi atau mesra dengan panggilan Apek baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama skuad Hang Tuah sehingga 2022, sekali gus menepis spekulasi dia akan berhijrah menyertai pasukan lain untuk musim Liga Malaysia 2021.

“Buat masa ini berita itu memang palsu. Kita tidak pernah dihubungi mana-mana pihak atau JDT sendiri untuk mendapatkan Khairul Fahmi. Setakat ini memang tiada.

“Lagipun, Khairul Fahmi sudah menandatangani kontrak baharu dengan kita selama dua tahun dan dia akan kekal hingga 2022,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Terdahulu, timbul spekulasi Khairul Fahmi yang juga bekas penjaga gol kebangsaan sudah disambar skuad Harimau Selatan selepas tersebarnya MyPAS permohonan JDT untuk membawa masuk Khairul Fahmi dari MUFC.

Dalam pada itu, Mohd Saiful memaklumkan kuota penyerang import baharu MUFC musim ini belum dapat diisi memandangkan pihaknya berdepan masalah untuk menandatangani pemain Croatia, Ivan Lendric dan bekas penyerang Melaka United, Marco Simic apabila gagal mencapai kata sepakat.

Sebagai alternatif pihaknya sudah menyediakan pelan C untuk membawa masuk penyerang dari kelab Bosnia, Stefan Nikolić.

“Kita sudah hantar surat tawaran kepadanya dan buat masa ini kita sedang menunggu jawapan daripada pemain itu. Kita harap tiada masalah untuk membawanya beraksi buat pertama kali di Liga Malaysia.

“Namun, jika masalah sama berulang, mungkin kita terpaksa mencari pemain lain yang bersesuaian untuk mengisi kuota penyerang import yang diperlukan,” katanya lagi.

Views:

520
Kongsi :
Previous post Masalah mental, kewangan dan dadah faktor utama berlaku penderaan anak
Next post NGO Melaka sokong sambutan TBC hanya bersama ahli keluarga
Ubah saiz-+=