PRN MELAKA: 11,175 PETUGAS PILIHAN RAYA DILANTIK

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KOTA LAKSAMANA 7 Oktober – Seramai 11,175 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November 2026.

Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 28 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi PRU DUN Melaka Ke-16 yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-16, di sini, hari ini.

PRN Melaka Ke-16 melibatkan kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan menyaksikan rakyat negeri itu memilih Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.

PRN Melaka Ke-16 diadakan susulan pembubaran DUN Melaka Ke-15 pada 23 September lalu.

Pembubaran itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021 yang lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN memenangi kerusi di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Lima kerusi dimenangi PH ialah Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN memenangi Sungai Udang dan Bemban.

PRN Melaka 2021 menyaksikan seramai 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post MeSRa: TIGA LALUAN BAHARU UNTUK BELIA MELAKA
Next post PRN MELAKA: 271 PUSAT MENGUNDI, 1,263 SALURAN DIBUKA