Masjid di Duyong sedia khidmat urus jenazah percuma

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 5 Januari – Sebanyak empat masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong akan menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma, selewat-lewatnya sebelum 1 Ramadan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, usaha itu diteruskan selepas melihat kejayaan perkhidmatan itu yang dilaksanakan di Masjid Al Wahab, Permatang Duyong sejak tiga tahun lalu.

“Alhamdulillah khidmat pengurusan jenazah percuma ini berjaya dilaksanakan di masjid tersebut sudah tiga tahun, selepas menilai dari segi kewangan, penjimatan dan kerjasama anak-anak muda, kita teruskan inisiatif ini.

“Sebenarnya konsep begini memudahkan masyarakat, kadang-kadang isu yang timbul bukan mereka tiada duit tetapi bila kematian mengejut smeua jadi panik.

“Selepas ini keluarga arwah tidak perlu lagi tunggu duit ada baharu boleh uruskan jenazah tersebut, sebab itu saya rasa kita perlu adakan perkhidmatan ini untuk memudahkan anak-anak kariah di DUN Duyong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, inisiatif itu bakal memanfaatkan kira-kira 20,000 penduduk di DUN Duyong.

“Masjid Fat’hur Rahman, Pengkalan Rama juga sudah mulakan khidmat pengurusan jenazah percuma ini pada 1 Januari 2024 yang lalu, manakala baki dua masjid lagi di DUN Duyong akan melaksanakan inisiatif itu dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1073
Kongsi :
Previous post Rakam sejarah ‘submariner’ Malaysia
Next post Banjir: SPM 2023 berlangsung seperti dijadualkan
Ubah saiz-+=