MATTA promosi Ekotourism Paya Lebar di mata dunia

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER LIMAU 25 Mei – Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) akan menjadikan Pusat Ekotourism Paya Lebar sebagai tumpuan utama untuk dipromosikan di mata dunia.

Pengerusi Matta Melaka Chapter, Goh Hock Gin berkata, ia sebagai langkah bagi mempromosikan lokasi pelancongan baharu itu menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Tahun Melawat Malaysia 2025.

Jelasnya, promosi berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan lokasi yang kaya dengan tarikan sejarah dengan sentuhan flora dan fauna itu dapat menarik pelancong domestik dan luar negara.

“Kita akan terus mempromosikan biarpun sebelum ini Ekotourism Paya Lebar telah dipromosi sehingga ke negara Timur Tengah dan India, yang mana saya difahamkan ia telah menerima maklum balas terbaik dari pelancong di negara itu.

“Dengan pembinaan beberapa prasarana baharu hasil daripada kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), kita yakin kawasan ini telah bersedia menerima pelancong pada masa akan datang.

“Maklum balas positif dari pelancong antarabangsa ini diterima sejak sebelum pandemik COVID-19 dan ramai antara mereka tidak sabar menunggu sektor pelancongan berteraskan ekosistem ini dibuka kerana kebanyakkan tarikan sektor pelancongan pada hari ini tertumpu kepada tarikan alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program FAM Trip Paya Lebar Eco Tourism Anjuran MATTA Melaka di Jeti Pengkalan Nelayan Paya Lebar, di sini, semalam.

WhatsApp Image 2023-05-24 at 19.53.06
HIDUPAN ekosistem hutan paya bakau menjadi tarikan dalam produk baharu pelancongan di Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Masjid Tanah yang terletak di bawah daerah Alor Gajah mempunyai potensi cukup besar dalam sektor pelancongan yang boleh diketengahkan.

Jelasnya, beberapa lokasi menarik di Masjid Tanah seperti Taman Anggur Amanda Putri di Ramuan China Besar; Laman Keris di Paya Lebar dan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pengkalan Balak akan dimasukkan di dalam pakej Ecotourism Paya Lebar.

“Seperti pusat ekotourism ini terdapat banyak nama seperti Ramuan China dan Lubok China, di mana ia dikait rapat dengan sejarah kedatangan China suatu ketika dahulu dan menggunakan sungai ini sebagai laluan utama, kawasan ini begitu unik selain sejarah pelancong akan menikmati keindahan tarikan hutan paya bakau.

“Setakat ini kita sedang berbincang bersama MPAG untuk merangka harga yang bersesuaian dikenakan kepada pelancong yang menggunakan pakej ditawarkan.

“MATTA akan menjadikan ini sebagai fokus utama dan kita juga akan bekerjasama dengan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka untuk meneruskan promosi-promosi ini ke seluruh negara selain di negara luar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1612
Kongsi :
Previous post Teman lelaki bunuh, bakar kekasih hamil
Next post Pemuda maut, motosikal bergesel
Ubah saiz-+=