Mayat pelajar mangsa kedua banjir di Johor ditemukan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KLUANG, 4 Jan – Seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dilaporkan hilang semalam, Ikmal Hakimi Mahasan, ditemukan mati di Kampung Bentong, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa merupakan korban kedua banjir di Johor yang sebelum ini meragut nyawa seorang wanita tempatan Halijah Majid, 59, yang ditemukan lemas Sabtu lepas setelah terjatuh ke dalam sebuah longkang dipenuhi air sedalam dua meter di Jalan Setia, Kampung Contoh dekat Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata mayat pelajar berusia 20 tahun itu ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dia terjatuh, kira-kira pukul 12.20 tengah hari selepas dipercayai dihanyutkan arus deras dari sungai berhampiran.

Katanya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari kediamannya, di Taman Suria, untuk ke rumah kenalannya di USIM dikenali sebagai “Amir” yang tinggal di Kampung Bentong.

“Bapa kepada mangsa, Mahasan Mohd Daud, 50, dihubungi seorang lagi rakan anaknya yang dikenali sebagai Syafikh, pada pukul 11 pagi (3 Jan), yang menyatakan dia telah ke kediamannya di Taman Suria pada pukul 2 pagi (3 Jan), tetapi tiada orang.

Dia juga cuba menghubungi mangsa tetapi panggilan tidak aktif, selain kereta Perodua Axia juga tiada di kawasan rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Low, menurut kenyataan diberikan rakan mangsa (Syafikh), arwah sepatutnya telah tiba ke rumah Amir dengan menggunakan Jalan Kampung Melayu Nyior setelah Jalan Kampung Bentong dinaiki air.

Katanya, mangsa yang merupakan pelajar tahun pertama di USIM itu kemudiannya cuba menghubungi ayahnya, tetapi gagal.

“Mayat mangsa kemudiannya ditemukan hari ini, kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- BERNAMA

Views:

759
Kongsi :
Previous post 20,000 nelayan belum mencarum PERKESO – LKIM
Next post Sindiket seludup rokok tumpas
Ubah saiz-+=