PUSINGAN U BERTINGKAT JIMATKAN MASA PERJALANAN LEBIH 40 MINIT – KM

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 16 September – Projek pusingan U bertingkat (elevated U-turn) di Jalan Cheng kini dalam proses penilaian oleh Kementerian Kerja Raya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu adalah antara inisiatif penyuraian trafik di laluan berkenaan terutama pada waktu puncak.

“Kemudahan pusingan U bertingkat amat perlu berikutan aliran trafik kerap terganggu akibat banyaknya persimpangan lampu isyarat sepanjang laluan berkenaan.

“Apabila siap kelak masa perjalanan khususnya pengguna menghala ke Bandar Melaka boleh dijimatkan hingga 40 minit,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Menaiktaraf Persimpangan Tiga Kepada Bulatan di Jalan Padang Kamunting sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah penyuraian trafik turut di beberapa laluan utama lain yang turut mengalami masalah kesesakan.

“Antara yang sudah dilaksanakan adalah inisiatif ‘no right turn’, termasuk di Krubong dan beberapa kawasan sesak lain.

“Pendekatan itu turut membantu menjimatkan masa perjalanan pengguna jalan raya di lokasi terbabit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

473
Kongsi :
Previous post KEJAYAAN PERTAMA NUR AWADAH SELEPAS LIMA TAHUN DALAM DUNIA PIDATO