MBMB, MPHTJ terima pengiktirafan 10 bandar berdaya huni 2021

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 21 Ogos – Kejayaan dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka menerima pengiktirafan 10 bandar di Malaysia yang menerima Anugerah Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi 2021 disifatkan sebagai kebanggaan buat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang menduduki tangga ke-4 dan ke-8 di Malaysia

Jelasnya, pengiktirafan yang diterima oleh dua PBT di Melaka itu adalah bagi Pengukuran Indeks Daya Huni Malaysia yang diukur melalui 23 indikator di bawah Agenda Malaysia Berdaya Huni sempena pelancaran Indeks Daya Huni Malaysia 2022 (iDAM) yang diadakan di Putrajaya pada 18 Ogos lalu.

“Bagi MPHTJ dan MBMB, kedua-duanya telah berjaya mencapai lima aspirasi utama iaitu pembangunan ekonomi makmur dan kalis masa depan, peningkatan kualiti persekitaran, pemuliharaan alam sekitar dan jaminan keselamatan, memperkasa keharmonian komuniti dan keluarga sejahtera, pembangunan guna tanah dan sumber bumi yang mampan serta urus tadbir yang berkesan serta penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan yang inklusif.

“Anugerah dan pengiktirafan yang diterima itu membuktikan Negeri Melaka adalah sebuah negeri yang benar-benar berdaya huni, sama ada untuk tinggal dan bekerja, menjalankan kegiatan ekonomi dan perniagaan mahupun sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan yang utama dan menarik.

“Ia juga selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya2035 (PSMJ 2035), visi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah Negeri Yang Lestari dan slogan rasmi negeri, Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

299860832_436144205205997_2232102764515096350_n
YANG Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman menerima anugerah yang disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto: MPHTJ

Pengiktirafan itu sekali gus menambah kejayaan PBT di Melaka yang sebelum ini memperoleh status Bandar Bahagia di Malaysia bagi tahun 2021 di bawah Jaringan Petunjuk Kemampanan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets).

Bagi status Bandar Bahagia itu, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) memperoleh skor yang tertinggi iaitu 98.17 peratus dan menduduki tangga ke-13 daripada 127 bandar yang dinilai, diikuti MBMB dengan skor 91.97 peratus dan menduduki ranking ke-26; MPHTJ dengan skor 89.40 peratus (ranking 33) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan skor 85.48 peratus (ranking 48).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3042
Kongsi :
Previous post Berita gembira untuk penjawat awam 30 Ogos ini – PM
Next post Bayi perempuan masih bernyawa ditemukan atas sofa depan kedai makan
Ubah saiz-+=