MBMB selaraskan pelaksanaan zon bebas kenderaan di Banda Hilir

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 17 Mei – Penyelarasan mengenai zon bebas kenderaan di kawasan Banda Hilir sedang dilaksanakan termasuk dalam proses mendapatkan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata sebagai agensi pelaksana yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan kawasan zon bebas kenderaan atau ‘car free zone’ di kawasan sejauh kira-kira tiga kilometer itu, pihaknya sedang melaksanakan penyelarasan demi kepentingan semua pihak.

Katanya, ia termasuk mengambil kira kepentingan peniaga di kawasan pelancongan terutama di bangunan Stadhuys, pengusaha beca dan pengunjung supaya semua pihak selesa dengan penutupan jalan berkenaan.

“Kita akan cuba selaraskan sebaik mungkin dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan kertas kerja akan dibawa ke MMKN untuk memperoleh keputusan.

“Sekiranya perkara itu dimuktamadkan, MBMB akan menjalankan publisiti sebelum melaksanakan tempoh percubaan.

“Apa-apapun kita tunggu keputusan MMKN yang akan dibincangkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka MBMB di sini.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan Exco kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain mengambil kira kepentingan semua pihak, penutupan jalan itu juga diambil bagi mengekalkan warisan bangunan lama di negeri ini.

“Bangunan warisan ini jika di negara luar ini memang laluannya ditutup untuk kenderaan. Apabila kenderaan terutamanya pengangkutan berat melalui kawasan warisan ini terutama di jalan berhampiran bangunan merah, ia boleh menyebabkan keretakan bangunan merah, jadi kita mahu memulihara warisan di Melaka.

“Seperti mana kejadian pokok tumbang dahulu, ia kemungkinan daripada faktor persekitaran. Kenderaan berat yang lalu-lalang seperti bas atau lori kemungkinan menyebabkan gegaran dan mampu memberi kesan kepada bangunan lama itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1359
Kongsi :
Previous post Teksi air tawar tambang serendah RM1
Next post Rempuh pokok bakau untuk loloskan diri
Ubah saiz-+=