MBMB teliti semula cadangan bina tiang penghadang konkrit di medan selera

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan melihat semula kesesuaian pembinaan tiang penghadang konkrit di medan selera di bawah seliaannya bagi mempertingkat tahap keselamatan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata langkah itu susulan selepas kejadian nahas yang berlaku di Medan Selera Tanjung Kling, Pantai Puteri, semalam.

Katanya, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan akan melihat kesesuaian membina tiang penghadang konkrit itu sebagai langkah keselamatan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

“Sebenarnya, semua medan selera kita selamat dan kejadian semalam pun berpunca daripada kecuaian pemandunya berusia 16 tahun yang tidak sepatutnya berlaku.

“Tapi apa pun, kita akan lihat pada kesesuaian jika ada medan selera kita yang perlu dipertingkatkan tahap keselamatannya bagi mengelak risiko kejadian sama pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shadan turut mengulas kejadian semalam yang melibatkan seramai 11 pelanggan di medan selera berkenaan dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika mereka sedang menikmati hidangan petang semalam.

Dalam kejadian 2.43 petang itu, semua mangsa bagaimanapun terselamat apabila sempat mengelak daripada dirempuh secara MPV jenis Toyota Avanza itu.

Ketika sedang memanaskan enjin, remaja terbabit telah tertekan pedal minyak dan mengubah gear kepada butang R menyebabkan ia mengundur secara mengejut sebelum bergesel dengan kereta di parkir bersebelahan dan mengundur memasuki gerai.

Mengulas lanjut, Shadan berkata susulan insiden itu, pihaknya ada menerima cadangan supaya MBMB memasang tiang atau tembok konkrit di medan selera berkenaan atau mana-mana premisnya yang berisiko berlaku nahas serupa.

“Ikutkan tidak semua peniaga mahu langkah (pemasangan tiang penghadang konkrit) itu dilakukan di hadapan kedai mereka atas faktor tertentu.

“Antaranya, tembok atau tiang itu akan menghalang pandangan pelanggan ke dalam kedai.

“Ini juga mungkin akan menyukarkan peniaga untuk membawa barangan atau bahan mentah keluar masuk dari kedai namun kita akan meneliti pandangan semua pihak mengenai cadangan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1987
Kongsi :
Previous post Pindaan Akta Orang Asli di peringkat kedua
Next post Kertas siasatan dibuka MPV rempuh medan selera
Ubah saiz-+=