Kertas siasatan dibuka MPV rempuh medan selera

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PANTAI KUNDOR 27 Ogos – Polis membuka kertas siasatan berikutan insiden sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu remaja lelaki 16 tahun merempuh medan selera di Tanjung Kling, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, dalam kemalangan kira-kira 2.40 petang semalam, MPV jenis Toyota Avanza mengundur dan melanggar kenderaan Proton Suprima S yang diparkir bersebelahan.

Katanya, MPV berkenaan kemudian merempuh sebuah keluarga yang sedang menjamu selera di medan selera terbabit.

“Susulan kejadian itu, polis menerima tiga laporan polis masing-masing melibatkan pemilik Avanza, pemilik Suprima S dan keluarga yang menjadi mangsa serta mengalami cedera ringan akibat rempuhan itu.

“Berikutan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai yang menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kertas siasatan turut dibuka membabitkan ahli keluarga remaja yang memandu MPV tersebut.

“Ahli keluarga remaja terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana. kesalahan membenarkan kanak-kanak di bawah umur mengendalikan kenderaan.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Zainol mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana dikhuatiri mengganggu proses siasatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2184
Kongsi :
Previous post MBMB teliti semula cadangan bina tiang penghadang konkrit di medan selera
Next post Banda Hilir dah ‘baru’ ke?
Ubah saiz-+=