Banda Hilir dah ‘baru’ ke?

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR, 27 Ogos – “Seingat saya dulu datang sini tak macam ini,” demikian luahan seorang pengunjung, K. Ravinder, 35 yang teruja dengan kemeriahan di kawasan tumpuan pelancongan itu apabila dibanjiri pelancong berjalan kaki sepanjang lebih dua kilometer.

Kata Ravinder yang berasal dari Pulau Pinang, suasana baharu di bandar tumpuan itu membuatkan dia dan keluarga tidak mahu melepaskan peluang mencipta seberapa banyak kenangan berlatarbelakangkan monumen yang tersegam indah di sini.

Justeru, menurutnya percubaan penutupan sebahagian jalan di Banda Hilir itu disifatkan mencapai matlamat berikutan pengunjung luar dapat menikmati keindahan bandar itu tanpa gangguan daripada kenderaan.

“Bagus juga idea (zon bebas kenderaan) ini sebab saya rasa seronok dapat bebas berjalan-jalan terutama di kawasan bangunan merah ini yang dahulunya sesak dengan kenderaan lalu lalang.

“Tutup jalan ini tiada masalah cuma lama tak datang Melaka jadi berpusing-pusing jugalah saya mencari tempat parkir tapi apa-apa pun Melaka tetap ‘best’ macam dulu,” katanya.

57d69703-48b2-4e0d-810f-a349466627da
K. Ravinder. Foto Aufa Izzati

Sementara itu, pengunjung yang mahu dikenali sebagai Mak Zai, 57 berkata, dia memanfaatkan kesempatan sebaiknya melawat bandar ikonik itu selepas menghadiri kenduri kahwin meskipun mengetahui sebahagian jalan telah ditutup.

“Kami cuba nasib sahaja sebab mana lagi kalau tidak ke Banda Hilir, kan? Kali ini nampak memang lagi meriah, gerai-gerai makanan pun penuh sahaja sehingga terpaksa beratur.

“Bagi orang luar, ini cukup baik sebab kita nak melancong bawa budak-budak pun rasa selamat,” katanya.

f0fd955d-332b-4280-8b9b-02cc099d7414
Serianti Kholil. Foto Aufa Izzati

Dalam pada itu, penjaja makanan, Serianti Kholil , 44 menarik nafas lega kerana mendapat sambutan menggalakkan apabila kawasan itu kembali meriah tidak seperti percubaan pertama zon bebas kenderaan dibuat pada Sabtu lalu.

“Malam ini ramai yang lalu-lalang jadi sebagai peniaga saya rasa sedap hati hendak menunggu lama sebab percaya nanti mesti ada yang sudi singgah gerai ini apabila kehausan atau kelaparan Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Sabtu (26 Ogos), percubaan penutupan laluan dari persimpangan lampu isyarat Jalan Bendahara berdekatan Little India hingga ke Menara Taming Sari, dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam kembali dilaksanakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

15853
Kongsi :
Previous post Kertas siasatan dibuka MPV rempuh medan selera
Next post Tubuh pasukan khas CRSM setiap negeri
Ubah saiz-+=