MCA, MIC terus sokong kerajaan PN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC hari ini turut berpendirian menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengekalkan kestabilan politik dan membantu rakyat menghadapi pandemik COVID-19.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, parti itu tidak berganjak dengan pendirian yang dinyatakan oleh BN tahun lepas untuk terus menyokong PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jadi selagi keputusan itu kekal, kita rasa terpanggil bawa ketetapan ini bersama rakan-rakan perjuangan dalam BN, kita anggap kita pentingkan rakyat, soal COVID-19 kita uruskan, dan akhirnya rakyat buat keputusan dalam PRU,” katanya yang turut menghadiri sidang media oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sidang media itu dihadiri 21 daripada 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN yang menyokong kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan pentadbirannya.

TIMBALAN Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan

 

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan yang senada dengan MCA berkata, segala keputusan seharusnya dibuat di peringkat tertinggi BN memandangkan parti itu bertanding pada PRU14 atas tiket BN.

Menteri Sumber Manusia itu berkata: “Segala keputusan harus dibuat di peringkat BN. Jadi sehingga sebarang (keputusan lain dibuat), kita teruskan sokongan kita (kepada kerajaan PN).

“Tak ada masalah untuk ikut UMNO, tapi ia perlu dibuat di peringkat BN. Sebagai individu, saya boleh ikut.. tapi apa pula yang akan saya beritahu anggota MIC?” soal Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post Zainal impi Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia
Next post COVID: Malaysia catat kes baharu tertinggi dengan 20,889 kes – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=