Zainal impi Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

LEGENDA bola sepak negara yang juga bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan menyimpan angan-angan mahu melihat Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Beliau yang baru sahaja tersenarai sebagai seorang daripada Ahli Kelab Abad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkata, impian itu tidak mustahil untuk direalisasikan memandangkan skuad bola sepak negara pernah menjadi pasukan gergasi Asia suatu ketika dahulu.

“Harapan dan impian saya adalah ingin melihat skuad bola sepak negara beraksi di kejohanan Piala Dunia.

“Ia tidak mustahil untuk dicapai kerana suatu ketika dahulu kita adalah pasukan gergasi dari Asia.

“Jadi, saya berharap lebih ramai pemain dapat berbakti untuk negara dengan sepenuh hati untuk membolehkan kita mencapai ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

ZAINAL antara pemain yang digeruni ketika era 80-an dan 90-an.

Mengulas pencapaiannya tersenarai dalam Kelab Abad FIFA dan berdiri setanding jaguh bola sepak dunia yang lain, Zainal menganggap ia satu pengiktirafan dan anugerah terbesar pernah diterimanya.

Jelasnya, semua itu dicapai selepas beliau berkorban dan memberikan sepenuh hati dalam arena bola sepak negara ketika bergelar pemain.

“Bukan mudah untuk mencapai ke tahap ini. Semuanya datang dari pengorbanan dan jiwa raga kami ketika membawa negara dalam pelbagai kejohanan bola sepak.

“Apapun, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang membantu saya untuk mencapai ke tahap ini.

“Tidak dilupa, tahniah juga kepada semua pemain yang mendapat pengiktirafan pada kali ini,” katanya.

Sebelum ini, dalam kemaskini terbaharu FIFA, Zainal bersama-sama Datuk Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh dan mendiang Datuk M Chandran disenaraikan sebagai ahli terbaharu Kelab Abad yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Dalam kemaskini itu, Zainal yang kini Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) diiktiraf telah membuat penampilan sebanyak 116 kali bersama negara di peringkat antarabangsa.

Beliau bukanlah nama asing dalam kancah bolasepak negara dan rantau Asia apabila telah meraih pelbagai kejuaraan khususnya di peringkat tempatan.

Sepanjang 19 tahun bergelar pemain beliau pernah memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1981, 1982, 1986 dan 1997, tiga kali juara liga utama pada 1980, 1989 dan 1990 serta dua Piala FA pada 1991 dan 1997 dengan kesemuanya bersama Selangor.

Di peringkat antarabangsa pula, sepanjang 17 tahun mewakili Malaysia beliau telah beraksi di pelbagai peringkat dan kejohanan seperti Kelayakan Piala Dunia, Kelayakan Piala Asia, Sukan SEA, Pesta Bola Merdeka selain aksi-aksi persahabatan serta banyak lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post Kuat kuasa parkir kenderaan mulai 9 Ogos – MBMB
Next post MCA, MIC terus sokong kerajaan PN
Ubah saiz-+=