MCMC raih Anugerah NEA 2021, sejajar usaha kerajaan perkasa bangunan lestari
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meraih pengiktirafan apabila diumum sebagai penerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2021 bagi kategori Bangunan Cekap Tenaga iaitu Bangunan Hijau Besar Terbaik pada Majlis Anugerah NEA di sini, malam tadi.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah diterima itu menunjukkan perkembangan sangat signifikan dalam membantu pengurangan pelepasan karbon ke udara selaras usaha kerajaan untuk memperkasakan pembangunan lestari di Malaysia.
“Kejayaan itu adalah bukti komitmen MCMC terhadap prinsip-prinsip dan nilai di bawah konsep pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus atau ESG iaitu menekankan keseimbangan antara kemajuan dan keharmonian dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan.
“Usaha pembangunan kelestarian alam sekitar MCMC ini juga sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 yang menumpu kepada pendekatan ekonomi hijau dan hasrat kerajaan untuk mencapai aspirasi bagi menjadi sebuah negara yang neutral karbon seawal-awalnya pada 2050,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut memaklumkan antara usaha diambil dalam mencapai status bangunan hijau termasuklah tumpuan kepada penjimatan tenaga, kecekapan air serta kualiti persekitaran dalam bangunan dan kelestarian alam sekitar.
Kenyataan itu memaklumkan suruhanjaya berkenaan turut membina MCMC HQ Tower 1 dengan kuasa solar, taman hijau di bumbung bangunan, penuaian hujan dan angin serta kolam ikan Koi dalam mengekalkan persekitaran hijau.
“MCMC akan terus memberi komitmen untuk menerajui dalam pembangunan kelestarian alam sekitar dan pembangunan hijau demi kepentingan generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.