Masyarakat diajak sertai Program Duta Komuniti – MenKOMM

SANDAKAN, 26 Mac – Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa hari ini mengajak semua peringkat masyarakat termasuk di luar bandar, untuk menyertai Program Duta Komuniti.

Beliau berkata program yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam itu, bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam kalangan masyarakat, ketika peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April ini.

Katanya kesedaran rakyat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan, memantapkan lagi usaha kerajaan ke arah menjayakan peralihan ke fasa tersebut.

“Ini kerana apabila kita membuka sempadan negara, pelancong mula keluar masuk, kegiatan peniaga akan bermula berniaga balik, padang bola buka, rumah ibadat semua buka, tidak mungkin kerajaan boleh membuat kawalan melalui institusi yang biasa, sama ada pegawai kesihatan, polis atau Rela, dan sebagainya.

“Jadi, kita berharap ada satu kesedaran dalam kalangan komuniti, untuk mewujudkan duta-duta komuniti dalam kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santai YB MenKOMM di Taman Harmoni di sini hari ini.

Annuar berkata Jabatan Penerangan di semua daerah akan menjadi penyelaras dan menyegerakan proses pelantikan Duta Komuniti, sehubungan itu masyarakat boleh merujuk kepada Pejabat Penerangan di daerah masing-masing untuk mengetahui lanjut mengenai program tersebut.

Beliau berkata untuk pusingan pertama, seramai 20,000 duta komuniti di seluruh negara akan dilantik serta boleh mencecah 100,000 apabila ada keperluan, dan duta berkenaan akan disediakan pakaian pengenalan diri serta surat watikah pelantikan.

Sementara itu, katanya sekurang-kurangnya satu Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) perlu diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dan wakil rakyat di kawasan lebih besar boleh memohon tambahan PEDi di kawasan masing-masing.

“Ketika ini 173 kawasan DUN di seluruh yang masih belum mempunyai PEDi, tidak kira sama ada wakil rakyat kawasan DUN pembangkang atau tidak, PEDi digerakkan untuk rakyat,” kata Annuar yang turut mengumumkan PEDi akan dibuka di DUN Elopura diwakili pembangkang.

Dalam pada itu, Annuar berkata fasa pertama pembangunan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Sabah dijangka siap akhir tahun ini melibatkan kos RM2.13 bilion.

Beliau berkata projek itu melibatkan pembinaan menara baharu dan menaik taraf stesen pemancar, serta menyambung rumah dan premis perniagaan dengan saluran kabel gentian optik dan pembangunan teknologi satelit jalur lebar di kawasan pedalaman.

“Projek (Jendela) yang masih dalam pelaksanaan pula melibatkan kos RM1.64 bilion,” katanya.

Annuar turut memberitahu kementeriannya bersama Kementerian Pengajian Tinggi dijangka akan memulakan fasa pertama daripada tiga fasa dalam pengagihan 350,000 peranti kepada pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, seawal akhir Mei ini.

Katanya permohonan mendapatkan peranti itu sedang berjalan sebagai mengurangkan beban ibu bapa membeli peranti untuk anak mereka mengikuti pengajian, selain memudahkan pelajar menempuh tempoh pengajian.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4

Share and Enjoy !

Shares
Previous post MCMC raih Anugerah NEA 2021, sejajar usaha kerajaan perkasa bangunan lestari
Next post Diskaun sehingga 50 peratus bercuti ke Melaka