Diskaun sehingga 50 peratus bercuti ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

JOHOR BAHRU 26 Mac – Kerajaan Negeri Melaka secara rasmi melancarkan kempen promosi ‘Melaka For Malaysian 1.0’ dalam Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka 2022 di Johor Bahru yang berlangsung hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kempen bermula 25 Mac hingga 31 Disember itu dilancarkan bertujuan untuk memulihkan sektor pelancongan Melaka di samping menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, menerusi kempen tersebut, semua rakyat Malaysia berpeluang untuk bercuti di Melaka dengan pelbagai tawaran istimewa.

Ia termasuklah diskaun sehingga 50 peratus bagi pakej penginapan dan tempat tarikan pelancongan di negeri ini.

“Kita mempunyai 12 pakej-pakej pelancongan oleh pihak MATTA Melaka Chapter yang ditawarkan oleh 18 konsortium ejen kembara pelancongan Negeri Melaka.

“Selain itu, pihak Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka, Persatuan Bajet Hotel (MyBHA) Melaka dan Persatuan Pemilik Homestay Negeri Melaka turut menawarkan pakej penginapan diskaun sehingga 50 peratus.

“Bukan itu sahaja, tempat-tempat tarikan di Melaka juga menawarkan diskaun sehingga 50 peratus di mana para pelancong boleh menerokai Melaka dengan harga yang lebih berpatutan.

“Malah terdapat juga pakej yang ditawarkan seperti Beli 1 Percuma 1 (Buy One Free One),” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh EXCO Pelancongan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis pada majlis pelancaran tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, Melaka turut menawarkan baucar diskaun sehingga 30 peratus di 30 buah restoran dan cafe yang menyertai kempen “Melaka for Malaysian 1.0”.

Ujarnya, baucar itu boleh didapati di kaunter Tourism Melaka di mana kempen ini bermula pada 25 Mac 2022 dan sah sehingga 31 Disember 2022.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya juga menyeru kepada semua penggiat industri pelancongan Negeri Johor dan Negeri Melaka agar sentiasa menyokong kempen promosi ini di samping memilih Melaka sebagai Destinasi MICE (Meeting, Incentive, Convention & Exhibition) yang utama di Malaysia.

“Bagi penganjur aktiviti MICE ini, Melaka menawarkan insentif penganjuran MICE dengan memberikan tajaan makan malam, persembahan kebudayaan dan lawatan setengah hari di tempat-tempat tarikan pelancongan bagi penganjuran aktiviti MICE yang melibatkan sekurang-kurangnya 200 orang peserta / pelancong,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1430
Kongsi :
Previous post Masyarakat diajak sertai Program Duta Komuniti – MenKOMM
Next post Warga emas disamun di hadapan rumah anak di Bandar Tun Razak
Ubah saiz-+=