Sorting by

×

MCORP PROMOSI MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELABURAN TERBAIK DI OSAKA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

OSAKA, JEPUN 3 September – Perbadanan Melaka (MCORP) mengambil peluang mempromosikan tiga kawasan perindustrian baharu Melaka pada penyertaan di World Expo 2025 Osaka.

Pengurus Kanan Perancangan Perindustrian MCORP Hairulzamani Othman berkata, tiga kawasan perindustrian itu adalah MCORP Hi-Tech Park di daerah Alor Gajah, German Technology Park (GTP) di daerah Melaka Tengah dan Elkay 2.0 di Jasin.

Menurut beliau, pada masa sama, MCORP juga mengambil kesempatan mempromosikan peluang perniagaan lain kepada bakal-bakal pelabur serta usahawan yang turut menyertai ekspo dunia itu.

“Alhamdulillah, menerusi beberapa program yang kita adakan seperti forum dan sesi padanan perniagaan, rata-rata peserta dan bakal pelabur terlibat telah menunjukkan minat terhadap peluang pelaburan dan perniagaan di Melaka.

“Malah, kita juga sedia membuka ruang dan peluang untuk mereka datang ke Melaka untuk melihat tapak dan juga peluang perniagaan yang ada di negeri ini,” katanya.

Whatsapp image 2025 09 03 at 2.22.26 pm
HAIRULZAMANI

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas seminar Melaka Global Investment Gateway – Bridging Borders, Building Futures di Business Hall, Pavillion Malaysia, hari ini.

Selain MCORP, seminar itu turut membabitkan Invest Melaka, Perbadanan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka.

Mengulas lanjut, Hairulzamani memaklumkan, seminar tersebut turut membawakan syarikat konsultan dari Jepun yang berkongsi pengalaman sebagai perunding dan mengendalikan perniagaan di Melaka sehingga perniagaan tersebut terus berkembang pesat hasil bantuan dan kerjasama baik daripada agensi serta jabatan Kerajaan Negeri Melaka.

Menurut beliau, secara tidak langsung, ekspo itu sekali gus terbukti menjadi medan terbaik dalam mempromosikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perniagaan yang terbaik kepada dunia, khususnya syarikat dari Jepun.

“Kita amat berharap menerusi penyertaan di ekspo ini, lebih banyak pelabur dari Jepun dapat datang ke Melaka untuk mendirikan kilang dan mencipta peluang pekerjaan, selain syarikat Jepun sedia ada di Melaka juga diharap akan terus mengembangkan perniagaan meraka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post BOLA SEPAK SATUKAN CMO DAN MPJ
Next post DELEGASI ‘INFLUENCERS JDT FC’ RASAI KEUNIKAN MELAKA RIVER CRUISE