Melaka akan terima pemberian tahunan RM210 juta tahun depan – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 18 Nov – Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan sejumlah RM210 juta menerusi pemberian tahunan kepada Melaka pada 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata selain itu sebanyak RM574 juta telah diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan bagi membiayai 171 projek di negeri tersebut.

“Daripada 171 projek yang diluluskan bagi Melaka, 39 merupakan projek baharu yang telah diluluskan bagi 2022 yang melibatkan peruntukan RM51.8 juta,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai senarai peruntukan dan bantuan yang diberikan kepada rakyat dan kerajaan Melaka bagi 2021 dan menerusi Bajet 2022 selain peruntukan kewangan daripada kerajaan Persekutuan bagi 2022.

Tengku Zafrul berkata bagi 2021, kerajaan Melaka telah menerima sejumlah RM534 juta yang disediakan di bawah Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Melaka, melibatkan 161 projek di samping peruntukan berjumlah RM205 juta di bawah Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Melaka.

“Secara keseluruhan, peruntukan yang telah disediakan di bawah pakej rangsangan ekonomi, peruntukkan pembangunan dan pemberian kerajaan Persekutuan kepada Melaka bagi 2021 dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata penduduk Melaka juga akan terus menerima bantuan tunai dengan anggaran peruntukan melebihi RM300 juta, yang akan memberi manfaat kepada hampir 300,000 penerima melalui bantuan bulanan kebajikan masyarakat serta Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post 95 ahli Bersatu pulang ke pangkuan UMNO
Next post 495,195 pengundi pada PRN Melaka, Sabtu ini
Ubah saiz-+=