495,195 pengundi pada PRN Melaka, Sabtu ini

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 18 Nov – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan seramai 476,037 pengundi biasa dijangka keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi biasa itu adalah daripada jumlah keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar bagi pilihan raya itu.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar itu, 11,557 lagi adalah pengundi awal dan 7,601 adalah pengundi pos.

“Pengundi disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih di laman http://pengundi.spr.gov.my atau melalui aplikasi MySPR Semak atau talian hotline SPR 03-8892 7018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika membuat semakan, pengundi disaran untuk merekod dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“SPR juga melalui aplikasi MySPR Semak meletakkan maklumat masa keluar mengundi digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa dicadangkan tersebut.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang dicadangkan atas sebab tertentu, pengundi masih dibenarkan membuang undi mengikut kelapangan masa antara 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Namun demikian, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengyndu pada saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang peraturan serta garis panduan pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti., ” katanya.

Ikmalrudin berkata, sebelum keluar mengundi, pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Tambahnya, catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini,” katanya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post Melaka akan terima pemberian tahunan RM210 juta tahun depan – Tengku Zafrul
Next post Jentera BN jangan terpedaya dengan permainan PH – Rauf
Ubah saiz-+=